Jumaat, 11 Ogos 2017 | 12:16pm

Bukit Kepong dokumentasi kekejaman komunis

KUALA LUMPUR: Sesiapa saja yang membaca novel Bukit Kepong karya Ismail Johari, pasti semangat patriotisme akan berkobar-kobar dalam jiwa.

Tidak hairanlah novel yang pernah diadaptasi ke layar perak oleh Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin itu, dipilih oleh bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A Aziz Deraman sebagai Jejak Novel Merdeka.

"Peristiwa Bukit Kepong sangat menyayat hati apabila pasukan keselamatan negara kita bermati-matian mempertahankan sebuah rumah pasung, iaitu balai polis dari serangan pengganas komunis.

"Aliran faham antara kapitalisme Barat dengan komunisme menjadi pertarungan perang dingin antara Amerika Syarikat dan beberapa negara blok Eropah Barat dengan USSR.

"Eropah Timur dan China adalah suatu fenomena yang merebak ke seantero dunia dan ke negara yang sedang berjuang menuntut kemerdekaan, termasuk Malaysia dan Indonesia," katanya kepada Sastera BH, di sini.

A Aziz berkata, maka demi maruah dan kecintaan terhadap tanah air, pasukan polis kekal cekal berjuang ke titisan darah terakhir.

"Bagi sesiapa juga yang menatap novel Bukit Kepong, maka jiwa patriotismenya akan hangat mengalir dengan semangat yang berkobar-kobar merasakan semangat juang demi agama, bangsa dan negara.

"Peristiwa keganasan komunis, suasana keganasan mereka di ibu pertiwi ini tidak dapat digambarkan begitu saja kerana betapa kejamnya pembunuhan terhadap orang awam dan pasukan keselamatan, pengangkutan awam dimusnahkan serta pelbagai ancaman dan ugutan.

"Kezaliman yang dilakukan oleh komunis tidak berperikemanusiaan lagi. Justeru, novel Bukit Kepong melambangkan patriotisme dan kemerdekaan itu saling melengkapi," katanya.

334 dibaca
Berita Harian X