Rabu, 16 Ogos 2017 | 4:58pm

Tulang-Tulang Berserakan, karya Usman Awang antipenjajahan

KUALA LUMPUR: Babak watak utama menyaksikan kematian rakan pasukannya di tangan pengganas komunis menjadi detik penting dalam novel Tulang-Tulang Berserakan karya Sasterawan Negara (SN), Datuk Usman Awang.

Babak yang membawa kepada rasa bersalah watak kerana kematian rakan di tangan antagonis yang bermusuhan dengan penjajah Inggeris itu menarik perhatian Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write), Abdul Ghafar Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Agi.

Agi menyifatkan Tulang-Tulang Berserakan sebagai novel antipenjajahan yang menanam semangat patriotisme dan memperjuangkan nilai keamanan yang menjadi inti kepada rukun kemanusiaan sejagat.

"Protagonis Leman dalam novel Tulang-Tulang Berserakan melihat dirinya sebagai anggota polis yang diperhambakan oleh penjajah Inggeris di Tanah Melayu.

"Kebenciannya membuak-buak hingga menimbulkan konflik bahawa dia ibarat ejen ketuanan Inggeris bukannya sebagai anak pertiwi yang memperjuangkan kemerdekaan watannya," katanya kepada Sastera BH di sini, hari ini.

Tulang-Tulang Berserakan itu dipilih sebagai Jejak Novel Merdeka sebagai karya sastera yang disarankan oleh khalayak sasterawan, penulis dan penerbit, sekali gus wajar dijadikan novel wajib baca.

Sebelum ini, novel yang dipilih ialah Bumi Merdeka karya Talib Samat; Anugerah (Zaharah Nawawi); Pulanglah Perantau (Aziz Jahpin); Bukit Kepong (Ismail Johari); Kanang: Cerita Seorang Pahlawan (Maznan Nordin); Di Hadapan Pulau (A Samad Said); Anak Mat Lela Gila (Pak Sako); Nagogho Astana (S Othman Kelantan); Nyawa Di Hujung Pedang (Ahmad Murad); Sandera (Arena Wati); Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur (Keris Mas); Putera Gunung Tahan (Pak Sako); Interlok (Abdullah Hussain) dan Hujan Pagi (A Samad Said).

279 dibaca
Berita Harian X