Khamis, 31 Ogos 2017 | 12:39pm

60 novel, 60 tahun merdeka

SEJAK awal bulan ini, Sastera dan Budaya BH menyenaraikan sebuah novel setiap hari untuk disenaraikan sebagai Jejak Novel Merdeka, sekali gus menjadi karya wajib baca oleh rakyat di negara ini.

Pemilihan novel itu dibuat dengan mengambil kira pandangan sasterawan, pengkaji, pengarang dan penyair tanah air daripada yang sudah bergelar mapan hinggalah kepada penulis generasi muda serta baharu.

Tidak keterlaluan untuk meletakkan novel yang dicadangkan oleh khalayak sastera dan juga Unit Sastera sendiri sebagai wajah patriotisme yang mendefinisikan makna kemerdekaan dan kebebasan.

Sempena Hari Kebangsaan pada hari ini yang disambut oleh semua rakyat dan bertepatan dengan ulang tahun sambutan kemerdekaan ke-60, Sastera & Budaya menyediakan 60 novel wajib baca.

Bagaimanapun ini tidaklah bermakna hanya 60 novel yang disenaraikan ini saja yang memenuhi kriteria novel yang merakam dan mengungkapkan kemerdekaan serta pengisiannya, sebaliknya khazanah kesusasteraan tanah air masih banyak menyimpan karya berbobot.

Mengutip pandangan, pengkaji sastera tanah air, Dr Mohd Hanafi Ibrahim, sebahagiannya tersembunyi kerana dianggap novel pinggiran dan novel 'besar' apabila sekadar judulnya disebut dalam sejarah tanpa perbincangan lanjut tetapi kritikannya berani.

"Demikian juga dengan nasib pengarang Siti Mariam Nordin yang muncul lebih awal daripada Salmi Manja dengan tiga novel dalam fasa 1950-an selepas merdeka tetapi tidak dibincangkan oleh sejarah, kecuali disorot oleh pengkaji seperti Dr Rosnah Baharuddin.

"Novel Barisan Zubaidah dan Ustazah pula muncul pada dekad 1940-an yang menyentuh isu fasis Jepun dan zaman darurat Bintang Tiga. Kedua-dua novel ini merakam sukarnya kehidupan sosio-ekonomi orang Melayu selepas Perang Dunia Ke-2 dan bagaimana mereka mula merancang kehidupan ekonomi lebih baik," katanya yang juga Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Justeru, institusi dan penerbit khususnya yang berkaitan dengan kerajaan serta swasta wajar menggali semula khazanah penting itu dan bukan saja menerbitkannya kembali, bahkan menghidupkannya dalam bentuk terjemahan serta adaptasi.

Berikut senarai 60 judul Jejak Novel Merdeka:

1. Putera Gunung Tahan karya Pak Sako (1938)

2. Anak Mat Lela Gila karya Pak Sako (1941)

3. Melati Kota Bharu karya Abdul Kadir Adabi (1941)

4. Nyawa di Hujung Pedang karya Ahmad Murad Nasaruddin (1946)

5. Pahlawan Rimba Malaya karya Keris Mas (1946)

6. Barisan Zubaidah karya Hamdam (1949)

7. Ustazah karya Ahmad Lutfi (1950)

8. Panglima Awang karya Harun Aminurrashid (1958)

9. Anak Panglima Awang karya Harun Aminurrashid (1962)

10. Patah Sayap Terbang Jua karya A Samad Ismail (1966)

11. Tulang-tulang Berserakan karya Usman Awang (1966)

12. Sungai Mengalir Lesu karya A Samad Said (1967)

13. Tembok Tidak Tinggi karya A Samad Ismail (1967)

14. Interlok karya Abdullah Hussain (1971)

15. Pulanglah Perantau karya Aziz Jahpin (1971)

16. Sandera karya Arena Wati (1971)

17. Sayang Ustazah Sayang karya Salmi Manja (1974)

18. Ombak Bukan Biru karya Fatimah Busu (1977)

19. Di Hadapan Pulau karya A Samad Said (1978)

20. Hari-hari Terakhir Seorang Seniman karya Anwar Ridhwan (1979)

21. Warisan karya Abdul Talib Mohd Hassan (1979)

22. Korban Keretapi Maut karya Hashim Yop (1980)

23. Lepaskan Aku Kembali Ke Laut Jilid 1, 2 dan 3 karya Shaari Isa (1981)

24. Bukit Kepong karya Ismail Johari (1982)

25. Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur karya Keris Mas (1982)

26. Jatuhnya Kubu Terakhir di Jerampai karya Arman Sani (1985)

27. Bumi Merdeka karya Talib Samat (1987)

28. Hujan Pagi karya A Samad Said (1987)

29. Kanang Cerita Seorang Pahlawan karya Maznan Noordin (1988)

30. Rimba Harapan karya Keris Mas (1988)

31. Sakura Mengorak Kelopak karya Arena Wati (1988)

32. Projek 238 karya H Amir (1989)

33. Hujan Debu karya Rosmini Shaari (1991)

34. Panglima Salleh Selempang Merah karya Zaharah Nawawi (1991)

35. Pemberontakan karya Jong Chian Lai (1994)

36. Anugerah karya Zaharah Nawawi (1995)

37. Nagogho Astana karya S Othman Kelantan (1997)

38. Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridhwan (2001)

39. 1515 karya Faisal Tehrani (2003)

40. Orang Kota Bharu karya S Othman Kelantan (2003)

41. Harga Sebuah Maruah karya Azizi Haji Abdullah (2007)

42. Mahabbah karya Shahnon Ahmad (2007)

43. Panggil Aku Melaju karya Rahmat Haroun (2008)

44. Gerila karya Lukman Iskandar (2009)

45. Aci Patmabi karya Azmi Merican (2012)

46. Alor Miang karya Ali Jusoh (2012)

47. Aroma Bunting Padi karya Arena Wati (2012)

48. Penyeberang Sempadan karya Anwar Rihdwan (2012)

49. Cerita Perang Bariga karya Ruhaini Matdarin (2013)

50. Episod Cinta di Tanah Hijrah karya Amaruszati Noor Rahim (2013)

51. Qalam Kalbu karya Sri Rahayu Mohd Yusop (2013)

52. Tawarikh Ibu karya Razali Endun (2013)

53. Amuk Si Anak Zapin karya Ali Jusoh (2014)

54. Luka Nering karya Malim Ghozali Pk (2014)

55. Semenanjung Menangis karya Ariff Mohamad (2014)

56. Ah Fook karya Jong Chian Lai (2015)

57. Bukan Orangorang karya Hafizah Iszahanid (2015)

58. Kudup Hijau Tropika karya Husna Nazri (2015)

59. Leksikon Ledang karya Nor Azida Ishak dan Fadli Al Akiti (2015)

60. Pahlawan Adnan karya Zailiani Taslim (2015)

664 dibaca
Berita Harian X