Selasa, 5 September 2017 | 8:50pm
DELEGASI Malaysia yang diketuai ITBM dan PKB sibuk membuat persiapan terakhir sebelum IIBF 2017 yang bermula esok.

Penerbit Malaysia perlu lebih tumpu pasaran Asia

JAKARTA: Penerbit buku tanah air perlu menumpukan perhatian kepada pasaran buku Asia berbanding Eropah kerana hampir dua pertiga penduduk dunia berada di benua ini.

Pengurus Kanan Harta Intelek, Inisiatif Digital dan Konsultasi, Perbadanan Kota Buku (PKB), Hasri Hasan, berkata hal itu disokong dengan faktor kebanyakan negara Asia adalah negara yang pesat membangun.

Hasri berkata, meskipun pasaran Eropah masih revelan, penerbit Malaysia tidak banyak yang berjaya di sana.

"Eropah tidak berminat untuk membeli produk yang mereka mampu hasilkan sendiri malah lebih baik lagi.

"Pasaran penerbit tempatan sebenarnya adalah negara di Asia terutama di Asia Tenggara," katanya di Forum Global Trends in Publishing and Rights Trade di Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Republik Indonesia di sini, hari ini.

Turut menyertai forum, Pengerusi Yayasan Lontar, John McGlynn; wakil penerbit Indonesia, Thomas Nung Atasana; penerbit dari Jepun, Tatsuki Hirayanagi dan penerbit dari Korea Selatan, Sue Yang.

Hasri berkata, sehingga kini Indonesia kekal sebagai pasaran Malaysia yang terbesar selain Singapura, Vietnam, Jepun dan China.

Hal ini katanya, disebabkan perkongsian budaya dan pengalaman antara Malaysia dan negara berkenaan yang hampir sama.

"Penerbit di Asia Tenggara juga seharusnya bekerjasama dengan menubuhkan pusat hak cipta di Jakarta atau Kuala Lumpur untuk urusan perdagangkan produk secara bersama.

"Misalnya untuk sebuah produk, ia dihasilkan dengan kerjasama membabitkan ilustrator dari Indonesia, penulis dari Malaysia, editorial dari Singapura dan penerbitan dibuat di China.

"Keadaan ini membolehkan produk berkenaan dipasarkan di empat negara," katanya.

Forum itu diadakan sempena Pesta Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF) 2017 akan berlangsung di Jakarta Convention Center di sini, bermula esok hingga 10 September 2017.

Delegasi Malaysia yang diterajui Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan PKB turut tampil sebagai pempamer.

278 dibaca
Berita Harian X