Isnin, 11 September 2017 | 2:56pm
PENGUNJUNG melihat poster filem Gogol. The Start di sebuah panggung wayang dekat Moscow. - Foto AFP

Novelis klasik Russia, Gogol tampil seksi dalam filem

MOSCOW: Filem baharu Russia mengubah novelis klasik, Nikolai Gogol kepada detektif bergaya Goth yang bertarung dengan kuasa adikodrati hitam untuk menyelesaikan pembunuhan bersiri.

Pengkritik mempersoalkan penampilan bercelak, bergincu dan ketidaktepatan fakta sejarah tetapi pembikin berkata filem itu akan meniupkan semangat baharu ke dalam karya pengarang abad ke-19 bagi tontonan pelajar sekolah.

Kabus yang berpusar, kuda hitam yang berderap ke dalam hutan misteri dan ahli sihir yang bogel melompat di atas unggun api ialah babak dalam filem pertama yang dijadualkan sebanyak empat siri, diberi nama 'Gogol. The Start.'

Tayangannya akan dibuka di pawagam pada 31 Ogos ini dan menyusul dengan lapan episod versi televisyen.

Filem itu sebahagiannya berdasarkan kehidupan sebenar pengarang dengan rujukan terhadap penyakit sawannya dan kerjayanya sebagai kerani kepada polis politik Tsar, selain ketakutannya dikebumikan hidup-hidup.

Dalam filem, Gogol bekerja bersama-sama penyiasat Tsar terkenal, yang dihantar ke pedalaman Ukraine untuk menyiasat pembunuhan bersiri wanita muda.

Plotnya merujuk kepada hasil kerja Gogol terutama kisah seram kehidupan petani yang dikumpulkan dalam kumpulan Evenings on a Farm Near Dykanka.

Gogol yang terkenal dengan novel Dead Souls yang diterbitkan pada tahun 1842, membesar di Ukraine dan mendapat inspirasi daripada tradisi cerita rakyatnya.

Produser, Alexander Tsekalo, berkata pihaknya mencipta situasi yang mungkin dalam tulisan Gogol, Evenings on a Farm Near Dykanka.

"Kami menghubungkan semua kejadian menakutkan ke dalam satu urutan dan memberikan satu watak sebagai pembunuh bersiri.

"Gogol ketika menanti penyiasat yang baharu, terpaksa menyiasat sendiri jenayah ini.

"Semuanya tentang Gogol, bahkan dia bekerja sebagai jurutulis dalam Jabatan Ketiga (polis politik) dan datang ke Dykanka untuk tugasan itu, semuanya berlaku dalam kehidupan sebenarnya," katanya dalam sidang media di sini.

Karya Gogol menjadi bacaan wajib sekolah di Russia.

Penulis skrip filem Gogol, Natalya Merkulova memuji filem itu sebagai satu langkah besar ke depan dalam memberikan semangat baharu kepada Gogol.

"Gogol dan pengarang klasik lain digantung dalam kelas dalam bentuk potret yang berdebu dan kebosanan semua orang sudah sampai ke tahap tepu.

Filem itu dikeluarkan dalam dua versi, iaitu dengan klasifikasi 16+ dan satu lagi dengan had usia 18 tahun ke atas.

Dilakonkan oleh pelakon Alexander Petrov, watak Gogol ditampilkan pucat dan

sering mengalami serangan sawan, tersedar dengan petunjuk terkini terhadap kes pembunuhan.

"Saya tidak fikir mereka membawa silikon ke Dykanka pada zaman Gogol. Saya juga tidak fikir Gogol akan mengenakan solekan di mata," kata seorang pengulas di laman web hiburan Vokrug TV.

Agensi Berita Interfax mengkritik dialog yang dianggap tidak tepat dengan fakta sejarah dan membidas bahawa watak bercakap seperti penjual di kedai telefon tangan.

Bagaimanapun, pembikin menekankan filem itu tidak dimaksudkan supaya ditonton dengan serius. Malah ketika tayangan media di Moscow, mereka mengenakan baju T dengan slogan 'Minta maaf Gogol.'

Klip promosi filem menunjukkan seorang pelakon yang membawa watak guru sekolah yang gelabah berkata: "Saya langsung tidak menjangkakan untuk melihat Nikolai Vasilyevich Gogol tanpa seluar."

"Memang kita sengaja menampilkannya dengan sedikit mengarut," kata pengarah, Yegor Baranov kepada Momenty, laman web hiburan serantau.

Poster filem menunjukkan Gogol memegang bulu ayam yang berdarah dengan keterangan: "Detik yang paling gelap akan datang sebelum fajar."

Meskipun filem itu bermain secara longgar dengan karya klasik membangkitkan kemarahan sebahagian orang, pengkritik secara umumnya menganggap filem itu berhasil dalam termanya tersendiri.

Pengulas untuk Vokrug TV mengakui sekiranya siri itu akan ditampilkan dengan tahap yang sama dengan filem, "generasi muda akan mendapat filem seram tempatan yang baik."

"Sebagai filem seram bertaraf B, ia tidaklah buruk," lapor akhbar kerajaan Rossiiskaya Gazeta. - AFP

215 dibaca
Berita Harian X