Selasa, 12 September 2017 | 12:48pm
TIMBALAN Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Pertemuan TN50 sasterawan dan budayawan Oktober ini

KUALA LUMPUR: Pertemuan kelompok sastera dan budaya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai platform menzahirkan aspirasi pembentukan Transformasi Nasional 2050 (TN50) dirancang untuk diadakan Oktober ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, berkata pihaknya kini dalam usaha mengatur pertemuan itu yang dirancang akan berlangsung di DBP di sini.

"Pertemuan ini akan membolehkan kelompok sasterawan dan budayawan bahasa serta persuratan menyuarakan pendapat dan pandangan mereka mengenai pembentukan jangka panjang TN50.

"Dari apa yang kita lihat, pihak Perdana Menteri terbuka dengan cadangan pertemuan ini cuma cadangan kita pertemuan itu diadakan Oktober nanti perlu direncana supaya tidak bertembung dengan kesibukan beliau," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad meluahkan kekesalan kerana kelompok budayawan bahasa dan persuratan dianggap terpinggir daripada pembentukan aspirasi TN50.

Mohamad Saleeh dalam ucapan pembukaan pada Mesyuarat Agung PENA ke-54 berkata, kelompok itu berasa diberikan layanan kelas dua berbanding dengan golongan yang terbabit dalam industri hiburan.

Abang Sallehuddin berkata, DBP akan memastikan patform itu disertai semua budayawan, Sasterawan Negara, penulis dan persatuan penulis termasuk kalangan generasi muda.

"Kelompok ini memikul amanah tersendiri sesuai dengan peranan mereka dalam bahasa dan persuratan.

"Oleh itu, mereka juga mempunyai tanggungjawab memberi maklum balas kepada kerajaan berkaitan perihal TN50 ini," katanya.

298 dibaca
Berita Harian X