Jumaat, 13 Oktober 2017 | 5:58pm
CLAUDIA Kaiser ketika ditemui selepas pelancaran 'Storymaker League's 1st Asian Story-Writing Challenge' (ASWC) 2017 di Pavilion Malaysia di Frankfurt Messe. - Foto BERNAMA

Banyakkan penterjemah untuk tembusi pasaran buku Eropah

FRANKFURT: Peluang Malaysia untuk menembusi pasaran Eropah sangat luas berdasarkan usaha keras yang dilakukan oleh delegasi Malaysia setiap kali menyertai Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt (FBF).

Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Pesta Buku Frankfurt, Claudia Kaiser, berkata FBF adalah pesta buku antarabangsa terbesar yang disertai oleh pelbagai negara.

"Usaha berterusan untuk mempromosi buku yang dihasilkan membantu untuk memperkenalkannya kepada khalayak.

"Ini disebabkan secara lazimnya kita tidak akan menterjemah karya yang tidak kita fahami atau dituturkan oleh sekumpulan penutur yang kecil.

"Oleh itu, karya bahasa Inggeris yang selalu menjadi pilihan," katanya pada Majlis Pelancaran Cabaran Penulisan Kanak-Kanak Asia 2017 di Frankfurt Messe di sini.

Yang turut hadir Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, Mukundan Madavan dan Pengarah Urusan Shake Projects Sdn Bhd, Sheikh Faisal Sheikh Mansor.

Kaiser berkata, usaha dan promosi berterusan perlu dilakukan oleh negara ini antaranya memperbanyakkan kerja penterjemahan.

"Bagaimanapun sehingga kini penterjemah bahasa Melayu ke bahasa Jerman masih sangat sedikit jumlahnya yang menjadi antara halangan yang perlu diatasi.

Sementara itu, Sheikh Faisal berkata, Cabaran Penulisan Kanak-Kanak Asia dibuka kepada semua kanak-kanak berusia 10 hingga 17 tahun yang berada di Asia.

"Cabaran Penulisan ini sudah tiga diadakan tetapi hanya kali ini ia dibuka kepada negara Asia lain. Maklumat lanjut mengenainya boleh diakses menerusi laman web storymakersleague.com," katanya.

Cabaran Penulisan Kanak-Kanak Asia dianjurkan Shake Book Projects Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Perbadanan Kota Buku (PKB), BOOKCAPITAL.My dan e-Sentral.

Terdahulu majlis perjanjian persefahaman turut ditandatangani antara Shake Book Projects Sdn Bhd dengan Komite Buku Nasional Indonesia dan National Book Development Board (NBDB) Filipina.

130 dibaca
Berita Harian X