Jumaat, 3 November 2017 | 8:24pm
PENGARANG, Ian Rankin. - Foto AFP

Presiden Trump, Brexit punca kebangkitan 'karya ringan'

HONG KONG: Kegelisahan sejagat selepas peristiwa menggemparkan seperti Brexit dan kemenangan Presiden Donald Trump mungkin menolak pembaca daripada fiksyen jenayah distopia kepada novel dengan mesej yang lebih menyenangkan, kata pengarang karya terlaris, Ian Rankin.

Penulis Scotland itu meraih keuntungan hasil daripada karya gelap pembunuh bersiri dan pembunuhan gengster tetapi menjangkakan keadaan suram hubungan dunia mutakhir mungkin menjadi katalis kepada peralihan yang dicari oleh pembaca dalam karya fiksyen.

"Saya fikir ia mungkin berlaku - gerakan yang meninggalkan cerita pembunuhan bersiri dan fiksyen jenaya distopia yang suram kepada sesuatu yang bertemakan mesej yang lebih selesa.

"Mungkin kebaikan akan dimenangkan dan manusia biasa akan dapat mengatasi krisis dalam novel jenayah psikologi," katanya kepada AFP.

Sudah 30 tahun sejak Rankin memperkenalkan watak protagonisnya yang terkenal, John Rebus dalam Knots & Crosses, sebagai detektif berpangkat sarjan yang menyiasat pembunuh bersiri, Edinburgh Strangler, yang menculik gadis muda.

Seperti kes Rebus yang bercambah satu demi satu termasuklah tembakan, pelacuran, penagihan dadah dan langgar lari, novelnya juga mencetuskan populariti - kini menjadi buku terlaris di pasaran di beberapa benua.

Bagaimanapun Rankin percaya masa yang genting dalam dunia sebenar mungkin mendorong pembeli untuk mencari lebih banyak kelegaan ringan berdasarkan kejayaan pengarang British, Alexander McCall Smith, yang karya misteri tradisional berlatarbelakangkan Zimbabwe menjadi popular selepas serangan 9/11 di Amerika Syarikat (AS).

Menolak jenayah mengerikan demi menyelongkar masalah harian, novel bersiri terlarisnya, No.1 Ladies Detective Agency turut menampilkan kehidupan yang mudah seperti minum teh.

"Orang akan mencari sesuatu yang normal dan cerita mengenai orang baik yang saling bantu-membantu," kata Rankin mengenai kejayaan McCall Smith.

Rankin menambah beliau percaya fiksyen seperti itu lebih dipercayai berbanding kehidupan sebenar dan pembaca akan beralih kepada buku yang menyediakan dos keselesaan dan kestabilan.

"Kini, dunia kelihatan sangat gila dan tidak waras sehingga ramai novelis mengalami kesukaran untuk membentuk naratif yang koheren. Fiksyen mestilah boleh dipercayai; dunia sebenar sekarang pada saya bertentangan dengan hal itu," katanya.

Bagaimanapun beliau bertegas untuk tidak meninggalkan kisahnya mengenai kehidupan Edinburgh yang tersembunyi dan mengerikan semata-mata untuk buku yang 'baik dan selesa.'

"Saya terlalu sinis. Mungkin buku saya akan menjadi lebih liar dan huru-hara," katanya.

Pengarang itu sebelum ini pernah berkongsi yang beliau mengambil masa 14 tahun untuk hidup selesa berdasarkan pendapatan daripada bukunya. Namun beliau tidak pernah terfikir untuk berhenti dan beralih ke genre lain termasuk buku komik, opera libreto, seram dan skrip filem. Beliau kekal dengan fiksyen jenayah kerana "setiap tema paling bagus diselongkar dengan gaya detektif."

"Apabila saya menulis, saya berasa seperti menjadi kanak-kanak, bermain permainan dan mengalami pengembaraan dengan rakan imaginasi saya dalam alam yang saya dapat menjadi dewa," katanya.

Kritikan selalu dilemparkan kepada industri penerbitan dengan dakwaan itu terlalu didominasi oleh pengarang kulit putih tetapi Rankin menolak idea 'kulit putih, lelaki dan kaku.'

"Suara baharu selalu didengari dan fiksyen jenayah sering mengepalai laluannya. Baru-baru ini tercetus kejayaan fiksyen jenayah Scandinavia dan ia mendorong penerbit untuk mencari kebudayaan lain dalam usaha mencari 'Next Big Thing," katanya.

Bagaimanapun tidak ada tanda populariti Rankin di seluruh dunia - novelnya terjual lebih daripada 30 juta naskhah dan karyanya diterjemah kepada 22 bahasa - menurun disebabkan penulis muda. Novel Rebusnya ke-22 akan diterbitkan pada musim gugur 2018.

Ditanya mengapa minat terhadap detektif bersara itu masih ada walaupun selepas tiga dekad, Rankin berkata, pembaca gemarkannya sebagai watak yang hidup.

"Rebus ialah manusia yang rumit yang semakin berumur dan berubah... dan mereka juga menyukainya kerana memiliki kekuatan untuk mencari kebaikan - dia mencari keadilan bagi pihak mangsa."

Dan mengenai soalan apakah wataknya akan dimatikan?

Beliau menjawab: "Ketika saya memulakan proses untuk judul baharu, saya tidak pernah yakin sama ada Rebus akan kekal hidup atau mati di halaman terakhir. -AFP

146 dibaca
Berita Harian X