Isnin, 6 November 2017 | 2:19pm
Foto hiasan

Sistem pendidikan terpisah punca mentaliti negatif sastera

MENTALITI negatif sastera merujuk kepada suatu bentuk keadaan pemikiran yang meletakkan kesusasteraan sebagai sesuatu tidak mempunyai nilai yang penting.

Terdapat dua punca utama kelahiran mentaliti negatif sastera ini. Pertama, amalan pendidikan sastera yang tidak menggambarkan amalan sastera sebenar seperti terpancar dalam Peradaban Kepulauan Melayu-Indonesia dari abad ke-16 hingga ke-20. Kedua, sistem pendidikan terpisah yakni memisahkan aliran pendidikan pada peringkat menengah hingga ke universiti demi memenuhi keperluan semasa negara.

Secara ringkas, amalan pendidikan sastera yang tidak mencerminkan amalan sastera sebenar bermaksud sastera diajarkan dalam sistem pendidikan dikecilkan kepada karangan imaginatif dan fiksyen.

Karangan itu pula dibahagikan kepada prosa dan puisi yang dikecilkan lagi kepada prosa tradisional dan moden. Akhirnya, perhatian dan penekanan dengan sendirinya tertumpu kepada yang moden, majoritinya hasil karangan zaman prakemerdekaan dan selepasnya.

Pembahagian dan penekanan sebegini cukup merugikan kerana dalam abad masa lalu dianggap sebagai zaman emas sastera dan persuratan Melayu. Abad ke-16 hingga ke-20, karya pengarang dan genius wilayah ini dituliskan. Malah, penggunaan istilah tradisional juga terlalu longgar dan tidak mampu menggambarkan wajah sebenar sastera abad ke-16 hingga ke-20.

Istilah (puisi/prosa tradisional) kini memperlihatkan suatu nilai tidak maju dalam zihin. Hal ini mungkin boleh dielakkan jika digunakan istilah lebih menyeluruh dan menepati, misalnya puisi dan prosa warisan kerana akan menggambarkan sesuatu yang penting dan perlu dilestarikan dari satu generasi ke generasi seperti terkandung dalam istilah klasik dalam penggunaan umum untuk sastera kanon Barat.

Sistem terpisah, imej negatif

Yang dimaksudkan sistem pendidikan terpisah pula ialah kebijaksanaan semasa kerajaan yang membahagikan aliran di sekolah menengah kepada aliran sains dan sastera serta beberapa tahun kebelakangan, aliran teknikal/vokasional di kolej tertentu.

Sistem ini dengan sendirinya memberikan imej negatif kepada pelajar sastera sebagai pelajar corot. Strategi ini melorongkan hampir semua pelajar cemerlang ke aliran sains dan sedikit ke aliran sastera tanpa mata pelajaran sastera. Yang kurang cemerlang dalam peperiksaan akan memilih kolej teknik dan vokasional manakala yang selebihnya akan memasuki aliran sastera jika memang aliran itu ada di sekolah mereka.

Memang semua pelajar wajib mempelajari Teks Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (KOMSAS). Namun, teks KOMSAS sendiri tidak bebas daripada masalah disebutkan sebelum ini. Karya dipilih juga ada belum teruji masa dan zaman.

Selain itu, objektif KOMSAS bukannya memperkenalkan sastera, sebaliknya untuk memenuhi keperluan keindahan bahasa dalam subjek Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikatif.

Isi pembelajarannya pula berfokus sastera bersifat struktural. Dengan ruang dan masa terhad, sastera struktural itu kemudiannya akan ditanggapi oleh pelajar secara pragmatik, iaitu bertindak menghafal aspek tertentu daripada buku rujukan untuk memenuhi keperluan peperiksaan.

Dengan situasi itu, KOMSAS menjadi sebahagian proses pembentukan mentaliti negatif sastera kerana karya yang dipilih dan kaedah pembelajaran tidak akan mampu menggambarkan wajah sebenar sastera dan persuratan kita.

Pelajar aliran sastera dipandang rendah

Seterusnya, mereka yang cemerlang tadi akan meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di universiti dengan membawa mentaliti salah terhadap sastera. Sikap memandang rendah terhadap pelajar sastera yang sudah disemai pada peringkat sekolah menengah akan dikukuhkan kerana amalan sastera di universiti juga tidaklah banyak berbeza. Jadi, universiti menjadi tempat golongan ini mengukuhkan mentaliti negatif sastera.

Hal ini sangat merugikan kerana mereka ialah golongan paling strategik dan berpengaruh dalam pembentukan dan pelaksanaan dasar utama kerajaan. Peranan dan pengaruh mereka dalam masyarakat sangat besar. Pandangan mereka yang negatif terhadap sastera dan orangnya serta pengetahuan mereka tidak menyeluruh akibat gambaran salah dalam zihin mengenai amalan sebenar sastera akan memainkan peranan utama untuk meneruskan kelangsungan ini.

Sementara itu, golongan yang mengambil sastera sebagai pengkhususan pada peringkat sekolah menengah dan seterusnya menyambung ke peringkat lebih tinggi di universiti, yang tidak mendapat gambaran sempurna dan menyeluruh, juga menjadi sebahagian putaran itu tadi.

Cuma membezakannya, mereka menjadi golongan mengukuhkan gambaran yang diterima tadi. Jika mereka terbabit dengan institusi dan dunia kesusasteraan seperti menyumbang karangan, mereka menjadi sebahagian daripada golongan mengukuhkan dan memperjuang amalan sastera dan persuratan tidak mewakili wajah sastera kita sebenar.

Bersifat anti-ilmu, dualisme

Oleh itu, tidaklah menghairankan jika mereka kadang-kala bersifat anti-ilmu, menyamaratakan semua jenis karangan sastera dan persuratan serta bersifat dualisme yakni memisahkan dunia sastera sebagai dunia berbeza dari dunia ilmu. Dalam konteks ini, mereka hanyalah sebahagian gerak-daya yang sama cuma berada pada kedudukan berbeza.

Ketika mentaliti negatif sastera lepasan sains meminggirkan sastera menjadi satu pulau, mereka pula membina tembok dan memastikan pulau itu betul-betul terasing. Sebab itu kita akan mendengar tuduhan sastera tidak menawarkan apa-apa selain khayalan dan dari kalangan sastera pula mengangkat tinggi nilai khayal dan menghendaki orang luar masuk ke dalam dunia sastera dengan menanggalkan jubah keilmuan.

Tidak dapat dinafikan mentaliti negatif sastera diakibatkan juga oleh rencana dasar kefahaman masing-masing. Misalnya, mereka yang dipandu oleh faham kegunaan dan kebendaan, akan tetap melihat sastera dan persuratan tidak begitu bermanfaat dalam keadaan sekarang biarpun sastera diajarkan itu benar-benar mewakili wajah sebenar sastera dan persuratan kita. Namun, itu ialah masalah lain.

Sastera, persuratan hilang makna

Dalam tulisan ini, yang disorot ialah bagaimana dua punca utama tadi menyumbang kepada pembentukan mentaliti negatif yang menyebabkan sastera dan persuratan telah kehilangan nilai dan maknanya yang sebenar jika dilihat dari faham apapun.

Sebagai contoh, jika dilihat daripada pandangan alam Islam, apakah sastera dan persuratan yang ada sekarang ini mampu membina makna diri insan sebenar? Namun tulisan ini tidaklah berniat untuk menolak sumbangan sastera dan persuratan moden. Cumanya, penting untuk kita mengajarkan sastera dan persuratan seperti yang menjadi amalan dalam peradaban kita. Hanya dengan itu, sumbangan dan kedudukan sastera dan persuratan itu akan kembali didudukkan pada tempatnya, seterusnya akan memainkan peranan sesuai dengan kedudukannya dalam pembentukan diri dan peradaban.

Dalam konteks masa kini, jika kita melihat Transformasi Nasional 2050 (TN50) sebagai usaha serius kerajaan, maka sastera dan persuratan hanya akan dapat memainkan peranannya apabila kita berjaya memecahkan mentaliti negatif sastera itu.

Penulis dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)

274 dibaca
Berita Harian X