Isnin, 6 November 2017 | 7:47pm
DARI kiri; Novel Like the Starlings karya Diyar Harraz; The Red Bicycle (Dave Anthony) dan The River is Indigo (Suleiman Manan).

Tiga novel Malaysia disenarai penerima Anugerah Dublin

KUALA LUMPUR: Tiga novel Malaysia disenarai sebagai calon senarai panjang dalam Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin 2018 yang menawarkan hadiah RM492,000 (100,000 Euro).

Novel Like the Starlings karya Diyar Harraz; The Red Bicycle (Dave Anthony) dan The River is Indigo (Suleiman Manan) dicalonkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Ini kali kedua karya Diyar Harraz disenarai panjang selepas tersenarai pada tahun lalu, iaitu One Minute to Midnight bersama-sama Bits of Heaven (Aishah Madadiy) dan Don't Forget to Remember (Sonia Mael).

Senarai panjang Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin 2018 itu menyenaraikan 150 judul dari seluruh dunia termasuk Eropah, Asia, Afrika, Amerika Utara dan Kanada, Amerika Selatan, Australia serta New Zealand.

Pustakawan Dublin City, Margaret Hayes, berkata 150 judul yang layak bertanding itu dicalonkan oleh perpustakaan daripada 111 kota raya dan 37 negara di seluruh dunia.

"Senarai itu termasuk dengan 48 novel terjemahan yang membabitkan 18 bahasa, manakala 25 daripada keseluruhan karya ialah novel pertama pengarangnya.

"Hadiah hebat ini mengesahkan komitmen Dublin kepada pengarang dan penterjemah antarabangsa, sekali gus pada kesusasteraan serta kreativiti.

"Anugerah anjuran Dublin yang menjadi Kota Sastera UNESCO ini, membawa masyarakat pembaca dunia untuk bersama-sama membaca karya pengarang kontemporari, iaitu mereka yang mengambil inspirasi daripada tema tempatan dan sejagat dalam latar sebenar serta imaginasi," katanya dalam kenyataan di laman web Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin 2018.

Senarai pendek Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin 2018 akan diumumkan pada April tahun depan, manakala pemenangnya akan diisytiharkan pada 13 Jun.

Anugerah yang dimulakan pada 1994 dikenali sebagai Anugerah Sastera Antarabangsa Dublic IMPAC sebelum diberikan nama baharu pada 2015.

Ia dikelolakan dan ditaja oleh Majlis Bandar Dublin dan menjadi antara pengiktirafan termahal di dunia untuk judul karya sastera berbahasa Inggeris.

937 dibaca
Berita Harian X