Selasa, 7 November 2017 | 12:58pm

Pendigitalan manuskrip kuno Yahudi tamatkan pertelingkahan Israel-Russia

BAITULMAQDIS: Perpustakaan Russia dan Israel akan menandatangani perjanjian untuk penerbitan dan pendigitalan koleksi khazanah manuskrip dan buku Ibrani kuno, sekali gus menamatkan pertelingkahan hak milik selama 100 tahun.

Koleksi Guenzburg mengandungi hampir 2,000 manuskrip dan kira-kira 14,000 buku yang sebahagiannya berusia ratusan tahun meliputi topik agama, artistik dan saintifik.

Antaranya hasil karya mengenai Bible, perundangan Yahudi, matematik dan falsafah termasuk karya Aristotle dan ahli falsafah Yahudi, Maimonides.

Apabila pemilik koleksi itu yang berbangsa Yahudi Russia, Baron David Guenzburg meninggal dunia lebih seabad lalu, ia dianggap 'antara koleksi peribadi yang terbesar dan terpenting di dunia', kata Ketua Koleksi Perpustakaan Negara Israel, Aviad Stollman.

Zionis Yahudi membeli koleksi itu daripada balu Guenzburg pada 1917 dengan tujuan untuk menghantarnya ke Perpustakaan Holy Land yang kemudian berevolusi menjadi Perpustakaan Negara, kata Stollman, tetapi menambah Perang Dunia Pertama menghalang kemungkinan itu.

Selepas Revolusi Russia, koleksi itu dirampas dan dibawa ke Perpustakaan Negara Russia di Moscow yang kini disimpan.

Perjanjian yang akan ditandatangani di Baitulmaqdis petang ini antara Perpustakaan Negara Russia dan Perpustakaan Negara Israel akan menyaksikan perpustakaan Rusia mengambil fotografi digital beresolusi tinggi koleksi berkenaan.

Koleksi gambar itu kemudiannya akan diserahkan kepada perpustakaan Israel yang akan memuat naiknya dalam laman web Ktiv mereka, iaitu koleksi digital manuskrip Ibrani yang besar daripada perpustakaan dan koleksi seluruh dunia.

Koleksi Guenzburg yang mengandungi bahan unik, boleh dicapai oleh penyelidik di Perpustakaan Negara Russia dan perpustakaan Israel dibenarkan untuk membuat imej mikrofilem pada 1990 untuk kegunaan sendiri.

Bertahun-tahun, Perpustakaan Negara Israel cuba mendapatkan koleksi itu tetapi bukti pembelian daripada balu Guenzburg "tidak memuaskan hati pihak Russia," kata Stollman.

Rundingan pada 'peringkat tertinggi' beberapa tahun lepas termasuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Russia, Vladimir Putin, bagaimanapun membolehkan perjanjian itu.

Ahli perniagaan Dagestani-Russia, Ziyavudin Magomedov dari Summa Group memberikan komitmen untuk menyokong usaha Perpustakaan Negara Russia yang gerak kerja dijangka akan bermula dengan manuskrip, kata Stollman.

Dengan perjanjian itu, sama ada pihak Zionis itu membeli koleksi itu daripada balu Guenzburg tidak lagi penting, kata Stollman.

"Kami mengetepikan persoalan hak milik itu dan memandang ke hadapan.

"Digitalisasi bukan hanya membantu dalam memulihara hasil karya penting, bahkan membolehkan capaian yang mudah dan senang.

"Matlamat kami adalah untuk menjadikan manuskrip ini boleh dicapai oleh sesiapa saja dengan percuma dan dari segenap pelosok dunia," katanya. - AFP

659 dibaca
Berita Harian X