Rabu, 8 November 2017 | 1:29pm
LIKE The Starlings karya Diyar Harraz. - Foto Ihsan Pembaca

Anugerah Sastera Dublin, peluang karya Malaysia dikenali

KUALA LUMPUR: Pencalonan kali kedua berturut-turut dalam senarai panjang Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin 2018 dilihat permulaan baik dikenali pada peringkat antarabangsa bagi penulis, Aina' Mardhiyyah Rosdi atau nama penanya, Diyar Harraz.

Jika tahun lalu, Aina' Mardhiyyah dicalonkan bagi anugerah sama menerusi novel One Minute to Midnight, kali ini Like The Starlings disenaraikan bersama-sama dengan The Red Bicycle (Dave Anthony) dan The River is Indigo (Suleiman Manan).

"Saya maklum persaingan sengit dan hanya buku yang terbaik menang. Saya melihat pencalonan kali ini permulaan yang baik untuk saya.

"Memang menjadi idaman mana-mana penulis untuk dikenali pada peringkat antarabangsa," katanya kepada BH di sini.

Like The Starlings membawakan kisah dua insan melalui pelbagai perjalanan hidup mencari diri itu ialah novel ketiganya selepas After The Storm terbitan 2014 dan One Minute to Midnight (2015).

Karya dari seluruh dunia

Senarai panjang Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin 2018 diumumkan malam kelmarin, menyenaraikan 150 judul dari seluruh dunia termasuk Eropah, Asia, Afrika, Amerika Utara dan Kanada, Amerika Selatan, Australia dan New Zealand.

Karya yang turut berada dalam senarai panjang anugerah yang menawarkan hadiah bernilai RM492,000 (100,000 Euro) itu, termasuk The Noise of Time tulisan Julian Barnes; Human Acts (Han Kang); Swing Time (Zadie Smith) dan Nutshell (Ian McEwan).

Malam kelmarin, BH dalam laman webnya memetik kenyataan Pustakawan Dublin City, Margaret Hayes, menyatakan 150 judul layak bertanding itu dicalonkan perpustakaan daripada 111 kota raya dan 37 negara di seluruh dunia.

"Senarai itu, termasuk 48 novel terjemahan membabitkan 18 bahasa, manakala 25 daripadanya ialah novel pertama pengarangnya.

"Hadiah hebat ini mengesahkan komitmen Dublin kepada pengarang dan penterjemah antarabangsa, sekali gus pada kesusasteraan serta kreativiti.

Tampilkan sejarah pascakemerdekaan

Sementara itu, penerbit naskhah The Red Bicycle, Chong Tong Sin, berkata novel itu memaparkan kehidupan rakyat Malaysia era pra dan pascakemerdekaan tanah air.

"Ia novel sejarah dengan Anthony sebagai pengarangnya, menghasilkan karya bagus yang menumpukan kehidupan masyarakat bawahan era itu, terutama masyarakat India.

"Sebagai penerbit, kami sentiasa mahu menghasilkan naskhah yang berkualiti dan untuk itu saya sendiri sangat gembira dengan pencalonan yang diterima The Red Bicycle.

"Pihak kami berharap pencalonan ini akan membuka mata lebih ramai pembaca di negara ini untuk mengenali naskhah ini," katanya.

Senarai pendek Anugerah Sastera Antarabangsa Dublin 2018 akan diumumkan pada April tahun depan, manakala pemenangnya akan diisytiharkan pada 13 Jun selepas itu.

Anugerah yang dimulakan pada 1994 dikenali sebagai Anugerah Sastera Antarabangsa Dublic IMPAC sebelum diberikan nama baharu pada 2015.

Ia dikelolakan dan ditaja oleh Majlis Bandar Dublin dan menjadi antara pengiktirafan termahal di dunia untuk judul karya sastera berbahasa Inggeris.

176 dibaca
Berita Harian X