Rabu, 8 November 2017 | 7:34pm
FILEM Hanyut, arahan U-Wei Saari mencatat kejayaan besar pada Anugerah Skrin 2017 apabila membawa pulang trofi Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik. - Foto Mahzir Mat Isa
UNTUK sesebuah novel berjaya menjadi sebuah filem, ia perlu memiliki aspek sinematiknya tetapi novel ada masanya tidak mempunyai ciri terbabit.

'Apakah pembikin filem tanah air membaca?'

KUALA LUMPUR: Pembikin filem di negara ini sebenarnya tidak menyedari terdapat banyak novel yang baik di negara ini sehingga tidak hairanlah ia menyebabkan berlakunya kekurangan adaptasi novel sastera ke layar perak.

Kenyataan pahit itu dapat dikesan melalui satu persoalan ringkas yang dilontarkan oleh pengarah terkenal tanah air, U-Wei Saari yang bertanya 'apakah pembikin filem di negara ini membaca?'

"Apatah lagi adaptasi yang pernah dibuat sebelum ini adalah dari buku yang tidak bagus.

Jika kita lihat banyak adaptasi dulu, filemnya malah lebih bagus daripada karya asal itu sendiri.

"Misalnya adaptasi novel 'Naked Lunch' dari karya William S Burroughs. Ini antara karya baik yang kita hampir saja fikir ia tidak boleh diadaptasikan," katanya kepada Sastera & Budaya BH di sini.

U-Wei berkata, apa yang perlu dipertimbangkan juga ialah apakah novel yang dihasilkan kini menarik untuk diangkat sebagai sebuah filem.


NOVEL 'Naked Lunch' dari karya William S Burroughs.

Rumit adaptasi novel

"Untuk sesebuah novel berjaya menjadi sebuah filem, ia perlu memiliki aspek sinematiknya tetapi novel ada masanya tidak mempunyai ciri terbabit.

"Mengadaptasi novel itu juga memiliki kerumitan yang lebih berbanding mengangkat karya sendiri dan banyak pembikin filem mereka terlalu setia dengan novel itu sedangkan adaptasi memerlukannya untuk turut berubah.

"Paling penting walaupun mengadaptasi sesuatu karya, pembikin filem dan jati dirinya juga perlu wujud dalam karya itu," katanya.

Menurut U-Wei, antara cabaran besar mengadaptasi novel ke filem ialah filem memiliki bunyi dan tenaga sasteranya yang tersendiri.

"Seperti prosa, filem ada tuntutannya, nahu dan perbendaharaan kata.


PENGARAH terkenal tanah air, U-Wei Saari. - Foto Nik Hariff Hassan

Hasilkan karya 'fotostat'

"Jadi kalau pembikin filem tidak mengetahui aspek ini, akhirnya mereka bukan mengadaptasi daripada novel ke filem tetapi hanya menghasilkan karya 'fotostat'.

"Ini akan menjadikan karya adaptasi itu kurang menarik dan kaku," katanya.

Sementara itu, pengkritik filem, A Wahab Hamzah juga senada dengan U-Wei apabila menyebut untuk mengadaptasi novel ke filem, pengadaptasi mesti terlebih dahulu menjadi pembaca yang tekun.

"Pandangan penggiat filem tidak mahu mengadaptasi karya sastera ke layar perak hanyalah persepsi.

"Namun, filem juga dilihat sebagai komoditi dagang yang mana kejayaannya diukur dari segi pulangan," katanya.

Filem tiada prototaip ujian

A Wahab yang juga Pengarah Wilayah Utara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, filem juga memerlukan modal yang besar tetapi malangnya filem tidak punya prototaip untuk diuji.

"Mengikut format filem yang berjaya dari segi cerita mahupun meletakkan bintang yang sama bukan jaminan untuk berjaya di pasaran.

"Bukan tidak berlaku, filem yang diusahakan dengan kos yang besar dan pembikinan yang baik tetapi gagal di pasaran sedangkan filem yang nilai naratif dan pembikinannya yang dipersoalkan berjaya di pasaran," katanya.

A Wahab menyifatkan dunia perfileman Barat banyak memetik sumber daripada novel antaranya 'The English Patient', 'Lord of the Rings' dan 'The Heart of Darkness' yang sebenarnya naskhah yang sukar tetapi masih mampu berjaya di pasaran.

"Malah filem yang paling berjaya dalam sejarah pasaran filem, iaitu filem Gone With Wind adalah diadaptasi daripada novel karya Margaret Mitcheel.


A Wahab menyifatkan dunia perfileman Barat banyak memetik sumber daripada novel. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Perlu ada kemahuan

"Jadi sebenarnya tidak ada kekangan dari aspek pasaran, malah novel sebagai karya sastera sedia popular dan sedia ada khalayaknya. Yang penting ada kemahuan untuk mengangkat karya sastera ke filem," katanya.

Tegas A Wahab, adaptasi novel ke filem di Malaysia sebenarnya diterima baik oleh masyarakat menerusi penerbitan filem seperti Ombak Rindu, Legenda Budak Setan dan terkini yang sedang hangat di pasaran, 'Tombiruo'.

Malah setakat ini tidak kurang daripada 53 novel popular diadaptasi menjadi drama televisyen.

"Bagaimanapun, sekali lagi isu yang timbul ialah drama TV dan filem yang mendapat sambutan tersebut diangkat daripada novel popular yang sering pula dipertikaikan nilai kesusasteraannya.

"Populariti drama ini membuktikan yang buku sebagai dasar cerita yang akan memberikan cerita atau drama yang menarik dan diterima oleh khalayak," katanya.

Berita Harian X