Khamis, 9 November 2017 | 5:18pm

Anugerah PEN nilai karya dalam proses terjemahan

KUALA LUMPUR: Novel terjemahan Thailand, Moving Parts oleh Prabda Yoon menjadi karya tunggal dari Asia Tenggara yang terpilih untuk menerima Anugerah Terjemahan PEN 2017.

Novel diterjemahkan oleh Mui Poopoksakul itu disenarai sebagai 15 novel daripada 15 negara dan diterjemah daripada 14 bahasa.

English PEN dalam kenyataannya berkata, senarai itu juga termasuk karya pertama dari Mauritania yang akan diterjemah ke bahasa Inggeris.

"Turut disenaraikan novel daripada bahasa Eropah yang jarang diterjemah seperti Occitan, Galician dan Albania, selain memperlihatkan jumlah seimbang antara pengarang lelaki dengan wanita.

"Buku dipilih untuk Anugerah Terjemahan PEN ini berdasarkan kualiti sastera yang cemerlang, kekuatan projek penerbitan dan sumbangan terhadap kepelbagaian sastera di United Kingdom (UK)," kata kenyataan itu.

Anugerah Terjemahan PEN berbeza kerana menilai projek yang dalam proses penterjemahan, sekali gus membuka ruang kepada penulis luar termasuk Malaysia.

Dalam laman webnya, English PEN berkata, anugerah itu menawarkan dana sehingga 75 peratus daripada kos projek penterjemahan yang terpilih.

"Sekiranya perolehan tahunan penerbit kurang daripada STG500,000 (RM2.8 juta), pihak kami akan mempertimbangkan sokongan sehingga 100 peratus daripada kos penterjemahan," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, ia terbuka kepada semua bahasa dan tidak semestinya kepada penerbit yang sudah mendapat hak yang diperlukan ketika memohon anugerah berkenaan.

"Projek yang dikemukakan mungkin berupa karya fiksyen termasuk sastera kanak-kanak, karya bukan fiksyen, puisi, prosa atau drama.

"Anugerah ini akan menyokong projek yang membabitkan karya yang dalam proses diterjemahkan tetapi bukan pada fasa terakhir penerbitan.

"Bagi penterjemahan yang masih dalam proses, tarikh penerbitan mestilah sekurang-kurangnya tiga bulan selepas pengumuman anugerah. Anugerah pula akan diumumkan sekitar empat hingga lima bulan selepas tarikh akhir permohonan," kata kenyataan itu.

Tarikh akhir permohonan Anugerah Terjemahan PEN 2018 pula ialah 8 Disember ini, manakala maklumat lanjut lawati laman web https://www.englishpen.org/grants/pen-translates.

123 dibaca
Berita Harian X