Khamis, 9 November 2017 | 6:38pm
PENOLONG Kanan Kesenian Sekolah Seni Malaysia Perak (SSeMPk), Zuraini Abdullah bersama pelajar bergambar dengan keluarga yang menjuarai pertandingan Festival International Talent in Costa Brava, Spain tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Mek Mulung 'cakap' Melayu di Barcelona

KUALA LUMPUR: Usaha menghidupkan semula seni tradisional, Mek Mulung yang kian pupus membantu Sekolah Seni Malaysia Perak (SSeMP) menjuarai Festival Antarabangsa Seni (Monolit) di Barcelona, Sepanyol.

Penolong Kanannya, Zuraini Abdullah, berkata persembahan Mek Mulung oleh lima pelajar Tingkatan Dua sekolah itu juga mendapat penghormatan dan menerima hadiah istimewa bagi pertunjukan cemerlang dalam pertandingan yang disertai 26 negara.

"SSeMP saja yang membuat persembahan dalam bahasa kebangsaan pada hari pertandingan.

"Kami tidak berminat menterjemahkan dalam bahasa Inggeris kerana hendak mengekalkan identiti dan ketulenan Mek Mulung itu," katanya kepada BERNAMA selepas menjadi tetamu program Nine 11 Bernama News Channel di Wisma BERNAMA di sini, hari ini.

Persembahan Mek Mulung oleh Mohd Afzan Zainuddin, Mohd Nurzekwan Nabil, Farisha Aqilahhuda Mohamad Shafawi, Nor Alia Qistina Ali dan Destina Nashirma, masing-masing 14 tahun, yang dibantu dengan instrumen radisional Melayu bukan hanya membanggakan sekolah, malah gus menjadikan kemenangan pertama untuk sekolah seni Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Mek Mulung ialah teater tradisional berasal dari utara yang diangkat sebagai persembahan berasaskan kesenian setempat.

Zuraini berkata SSeMP mula beroperasi pada tahun lepas hanya menerima pelajar Tingkatan 1 dan menawarkan empat bidang seni iaitu seni muzik, visual, tari dan teater.

Katanya, pelajar pelbagai kaum dan bangsa juga berminat untuk belajar di sekolah seni yang menerima permohonan paling banyak antara sekolah seni di negara ini.

Beliau berkata seni tradisional perlu diwarisi oleh generasi muda supaya ia tidak lenyap ditelan zaman. - BERNAMA

281 dibaca
Berita Harian X