Jumaat, 10 November 2017 | 3:49pm
HA Jin.

Autobiografi palsukan kematian suami dalam peristiwa 9/11

SEBAGAI penggemar karya Ha Jin, jujurnya naskhah ini amat dinanti-nantikan. Diterbitkan tahun lalu, The Boat Rocker bagaimanapun tidak sangat memenuhi harapan sebagai pembaca setia pengarang yang nama sebenarnya ialah Xuefei Jin itu.

Masih lagi bercerita mengenai masyarakat diaspora China di Amerika Syarikat (AS), Ha Jin meskipun tidak lagi sarat dengan nostalgia komunisme seperti dalam The Crazed.

The Boat Rocker sebenarnya secara tidak langsung mengangkat kehebatan kerajaan China hingga boleh campur tangan terhadap hal yang berlaku di negara kuasa besar itu.

The Boat Rocker adalah kisah Feng Danlin yang datang ke AS untuk menyertai isterinya Yan Haili yang sudah lama berada di sana.

Malangnya, Feng Danlin bercerai tidak lama selepas itu apabila Yan Haili mahu mengahwini lelaki tempatan dalam misinya mendapatkan taraf warga negara.

Publisiti buku bekas isteri

Feng Danlin kemudiannya bertugas sebagai wartawan di sebuah penerbitan berbahasa Cina. Di situlah, dia kemudiannya ditugaskan memberi publisiti kepada autobiografi tulisan bekas isterinya berkenaan.

Autobiografi tulisan Yan Haili itu kononnya kisah benar Tragedi 9/11 yang menyaksikan suaminya terbunuh. Bagaimanapun Feng Danlin mengetahui autobiografi berkenaan adalah palsu.

Di situ mulalah konflik yang kelihatannya watak Feng Danlin terlebih emosi dan berdendam berbanding Yan Haili yang lebih rasional.

Apatah lagi Yan Haili mendapat sokongan kerajaan China dalam menyiapkan autobiografi berkenaan, Feng Danlin kelihatan lebih mahu melunaskan dendam dan marah berbanding melakukan kerjanya sebagai wartawan.

Mungkin kerana sudah biasa membaca karya Ha Jin, naskhah ini kelihatan biasa-biasa saja.

Ha Jin masih lagi berbicara persoalan diaspora China di AS menjelaskan kekuatan identiti dan jati dirinya meskipun sudah berada di negara itu sejak 1989.

Hal ini mungkin tidak akan sama jika ditangani oleh penulis yang jati dirinya kurang atau tiada langsung.

Jati diri kuat, tinggalkan leluhur

Satu hal yang menarik juga untuk direnung mengenai usaha kerajaan China menembusi pemikiran masyarakat Cina di AS.

Ia satu sisi yang menarik sebenarnya kerana secara tidak langsung, menjelaskan kekuatan identiti dan jati diri orang Cina meskipun mereka sudah meninggalkan tanah leluhur terlalu lama.

Ha Jin menulis naskhah ini dengan bahasa yang ringkas dan mudah, namun secara jujur pengalaman membaca The Boat Rocker tidaklah seenak membaca Waiting sebagai contoh.

Latar belakang Ha Jin

Ha Jin dilahirkan pada 21 Februari 1956 di Liaoning, China dan mendapat pendidikan di Universiti Heilongjiang dalam bidang pengajian Inggeris dan sarjana sastera Anglo-Amerika di Universiti Shandong.

Ketika tercetusnya Tiananmen 1989, Ha Jin menyambung pengajian di Universiti Brandeis, Boston yang akhirnya membawa kepada penghijrahannya ke AS.

Novelnya ialah In the Pond diterbitkan pada 1998; Waiting (1999); The Crazed (2002); War Trash (2004); A Free Life (2007); Nanjing Requiem (2011) dan A Map of Betrayal (2014).

Masa depan Ha Jin dalam bidang sastera di negara baharunya cerah sehingga tidak hairanlah beliau memenangi Anugerah Yayasan Hemingway/PEN pada tahun 1997; Anugerah Buku Kebangsaan (1999) dab Anugerah PEN/Faulkner (2000 dan 2005).

Selain novel, beliau turut dikenali sebagai penyair yang menghasilkan enam kumpulan puisi dan cerpenis yang tampil dengan empat koleksi judul persendirian.

INFO

  • The Boat Rocker
  • Penulis: Ha Jin
  • Penerbit: Vintage
  • Penilaian: 3
577 dibaca
Berita Harian X