Isnin, 13 November 2017 | 1:57pm
PENYELIDIK di Muzium Ashmolean, Universiti Oxford, Dr Farouk Yahya

Tinggalkan kerjaya akauntan demi kaji manuskrip Melayu

KUALA LUMPUR: "Manuskrip lama bukan hanya menyimpan kebijaksanaan generasi masa lalu, bahkan melaluinya kita mengetahui peradaban bangsa."

Spontan penyelidik di Muzium Ashmolean, Universiti Oxford, Dr Farouk Yahya menjawab sewaktu ditanya apakah istimewanya manuskrip Melayu lama.

Farouk yang berasal dari Subang Jaya dekat sini berkata, beliau tamat belajar dari London School of Economics and Political Science (LSE) dalam bidang perakaunan sebelum memulakan kerjaya sebagai akauntan di England.

Ketika itu, Farouk berkesempatan mengembara mengelilingi Eropah, Jepun dan Asia Barat. Setiap kali kembara, beliau selalu tertarik dengan koleksi seni halus di setiap negara yang disinggahinya.

"Dari situ saya bertanya diri sendiri, apa kurangnya seni halus tempatan. Malaysia juga memiliki bakat dan koleksi seni yang tidak kurang hebatnya," katanya.

Ikut kata hati

Tegas Farouk, beliau memutuskan untuk mengikut kata hati apabila meninggalkan kerjaya sedia ada bagi melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang sejarah seni di School of Oriental and African Studies (SOAS), Universiti London sebelum menyempurnakan ijazah doktor falsafah dari universiti sama dalam bidang serupa.

Ketika itulah, kata Farouk, beliau menelaah hampir 100 manuskrip Melayu koleksi SOAS dan Royal Asiatic Society di London selain kembali ke tanah air untuk mengkaji koleksi manuskrip Melayu yang disimpan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Muzium Kesenian Islam Malaysia, Universiti Malaya (UM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta beberapa koleksi lain di negara ini, selain turut kembara ke Kepulauan Riau.

Peluang dan pengalaman mengkaji kandungan imej serta teks manuskrip Melayu lama secara terperinci, menyebabkan beliau kagum dengan kebijaksanaan yang tersembunyi dalam setiap manuskrip Melayu.

"Kajian PhD saya itu menjurus kepada unsur magis dan ramalan dalam masyarakat Melayu yang disorot daripada himpunan manuskrip berkenaan.

Ejaan jawi lama mencabar

"Meneliti setiap manuskrip berkenaan sangat mencabar bukan saja kerana sistem ejaan jawi yang lama, bahkan perlu dikendalikan secara berhati-hati," katanya.

Farouk bukan saja berjaya menamatkan kajian doktor falsafahnya, bahkan kajiannya turut dibukukan, dengan tajuk Magic and Divination in Malay Illustrated Manuscripts.

"Saya beruntung kerana sejak kecil datuk dan nenek mendidik dengan tulisan jawi. Di rumah mereka dulu, hanya ada akhbar jawi jadi saya membesar dengan tulisan jawi," katanya.

Farouk mengakui ketika memutuskan untuk melanjutkan pelajaran dalam sejarah seni, beliau tidak tahu potensi atau pilihan cabang pengajian berkenaan.

Sebaliknya, beliau nekad memilih bidang itu berdasarkan minat dan mengikut kata hati.

"Apabila berpeluang mendalami sejarah seni barulah saya tahu luasnya skop kajian dalam bidang ini kerana ia turut mencakupi pemikiran dan peradaban manusia yang merentas benua.

"Sejarah seni sebenarnya pengajian mengenai tamadun. Semakin kita mengkaji, kita akan temui kaitan antara satu tamadun dengan tamadun yang lain," katanya.

1589 dibaca
Berita Harian X