Rabu, 15 November 2017 | 1:04pm
TETAMU yang hadir pada Malam Puisi Riong di Balai Berita. - Foto Hafiz Sohaimi

Malam Puisi Riong bakal kembali Jumaat ini

KUALA LUMPUR: Prestij Malam Puisi Riong BH-Permodalan Nasional Berhad (PNB): BH 60 Tahun Merentas Generasi kembali memeriahkan acara sambutan akhbar ini ke-60, sekali gus menutup tirai penganjuran acara apresiasi sastera pada tahun ini.

Bakal diadakan di Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar di sini, bermula jam 8 malam Jumaat ini, Malam Puisi Riong akan menampilkan gabungan pemuisi, penulis dan pelakon bagi menghangatkan lagi suasana.

Acara apresiasi puisi ini kini menjangkau usia hampir 40 tahun, sekali gus sinonim dengan Jalan Riong yang banyak melahirkan sasterawan dan pengarang tanah air.

Antara mereka yang tampil mendeklamasikan sajak termasuklah pengarang terkemuka Zainal Rashid Ahmad dan Pemenang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Filem Anugerah Skrin 2017 (ASK2017), Khir Rahman.

Merentas generasi

Acara baca puisi ini juga menampilkan novelis dan penulis skrip yang juga penerima Anugerah Karyawan Muda Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Siti Jasmina Ibrahim dan pelakon, pemuisi serta pelukis, Pyanhabib.

Turut mendeklamasikan puisi ialah bekas wartawan BH, Zinitulniza Abdul Kadir yang juga penulis buku Peranakan Cina Kelantan, selain pakar muzik tradisional dan Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) Dr Lawrence Ross.

Pentas puisi juga bakal digegarkan Juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Kebangsaan Ke-29, Ahmad Shukri Abdullah, Ahmad Syukri Abdullah dan wakil Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Koperal Buck Lee Pik Seng.

Acara ini juga akan dimeriahkan dengan kehadiran pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah seliaan Dr Roslina Abu Bakar yang akan turut mendeklamasi puisi.

Presiden Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), Dr Ghazali Taib juga akan tampil membacakan puisi, selain dihiburkan oleh penyanyi lagu puisi Syed Amran.

Malam Puisi Riong bakal diacarakan personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya yang sejak sekian lama sangat sinonim mengendalikan acara ini.

Cipta reputasi seluruh negara

Malam Puisi Riong sangat sinonim dengan BH kerana sejak dimulakan pada 1980-an ia mencipta reputasi sendiri.

Selain dianjurkan di Balai Berita, acara ini pernah diadakan hampir seluruh negara termasuk pernah diadakan di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Malah, Malam Puisi Riong pernah diadakan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan, selain pernah menjadi acara penutup setiap hujung tahun besar-besaran hasil kerjasama erat BH, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Istana Budaya, selain turut mengisi Bulan Bahasa Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

153 dibaca
Berita Harian X