Khamis, 30 November 2017 | 11:57am
VIKRANT Mathur. - Foto Ihsan PEMBACA

Senarai buku 'best seller' Malaysia tiada rujukan data

KUALA LUMPUR: Benarkah petunjuk sesebuah buku laris atau tidak di pasaran bergantung pada tiga bulan pertama selepas penerbitannya?

Sejauh mana pula kebenaran senarai buku 'laku keras' yang dikeluarkan setiap minggu? Malah, benarkah hanya novel cinta sahaja yang mampu terjual di negara ini?

Persoalan itu sangat menarik untuk diperkatakan kerana sebenarnya semua itu adalah tanggapan popular yang tidak disandarkan pada bukti empirikal.

Pengarah Nielsen Book India & Wilayah Asia Pasifik, Vikrant Mathur, menyifatkan Malaysia sebagai pasaran yang menarik di Asia Tenggara kerana buku yang diterbitkan di negara ini dalam pelbagai bahasa.

"Dalam pasaran sebegitu, bagaimana pasaran diukur dan bagaimana kita mampu mengetahui keadaan pasaran sebenarnya? Bagaimana kita boleh tahu apakah genre paling laku atau tajuk yang paling dicari?" katanya pada program Nielsen BookScan di Perbadanan Kota Buku (PKB) di sini.

Dalam menjayakan program Nielsen BookScan, kata Mathur, kerjasama penerbit dan pengedar diperlukan selain peranan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Bantu bangunkan industri

"Data yang akan diperoleh ini akan dibangunkan untuk membantu seluruh industri. Daripada data itu ia akan dipecahkan kepada perincian lain seperti genre dan penerbit selain harga, format serta trend terkini.

"Semua ini akan membantu penerbit membuat keputusan terbaik dalam perniagaan mereka," katanya

Untuk rekod, Nielsen BookScan ialah pembekal perkhidmatan dalam ekosistem dunia penerbitan bukan hanya di Asia, bahkan Eropah, Australia dan Amerika Selatan. Ia berperanan memberi data tepat kepada pasaran berdasarkan jualan runcit dan analisis pasaran.

Sementara itu, Pengurus Kanan PKB, Hasri Hasan turut mendedahkan ada kedai buku yang cenderung untuk menyenaraikan tajuk yang kurang laris dalam senarai jualan laku keras.

'Tolak' tajuk tertentu ke depan

"Hal ini terjadi untuk 'menolak' tajuk tertentu ke depan. Ada juga penerbit yang lebih cenderung untuk memasarkan buku terbitan terkini, selain kedai buku yang hanya memesan tajuk baharu saja.

"Semua ini berlaku disebabkan industri penerbitan di negara ini tidak mempunyai pangkalan data yang menghimpunkan maklumat penerbitan dan jualan," katanya.

Keadaan itu, jelas Hasri menyebabkan banyak tajuk lama tidak terjual sedangkan ia sebenarnya mampu menarik minat pembaca.

Sebagai contoh, ada penerbit mempunyai banyak buku yang dikeluarkan saban tahun tetapi disebabkan tiada data dan petunjuk pasaran, buku yang terjual adalah terbitan baharu saja sedangkan buku lama juga mampu terjual dengan baik jika promosi dan publisiti diberikan.

Data bantu promosi, lonjak jualan

Hal itu juga menurut Hasri menyebabkan kedai buku juga hanya memesan buku terbitan baharu dan menyaksikan lambakan buku di gudang. Ia disebabkan mereka tidak tahu kewujudan tajuk terdahulu, sekali gus dianggap tidak mampu menarik minat pembeli.

"Jika ada data, promosi boleh dibuat dengan baik dan melonjakkan kadar jualan buku tidak kira bilakah tahun ia diterbitkan. Hal ini juga membantu kedai buku membuat pesanan.

"Dari satu segi lain pula, penulis dapat memastikan genre apa yang paling diminati oleh pasaran. Apa yang ada hari ini hanya dakwaan sendiri kononnya buku mereka laris di pasaran tanpa bukti kukuh," katanya.

377 dibaca
Berita Harian X