Isnin, 4 Disember 2017 | 12:38pm
NOVEL No Knives in the Kitchens of This City karya asal Khaled Khalifa

Derita rakyat Syria dalam novel Arab kontemporari

KUALA LUMPUR: Penderitaan rakyat Syria di bawah regim Assad menjadi latar novel yang disenarai pendek untuk hadiah terjemahan sastera Arab kontemporari.

Novel No Knives in the Kitchens of This City karya asal Khaled Khalifa itu disenarai bersama tiga novel lagi dalam Hadiah Terjemahan Sastera Arab Saif Ghobash Banipal.

No Knives in the Kitchens of This City yang diterjemahkan oleh Leri Price disifatkan oleh panel hakim sebagai karya yang memberikan penghormatan kepada individu yang terpaksa mengurus hidup dan bertahan di tengah-tengah kuasa serta penindasan.

"Ia menampilkan watak yang canggung, iaitu ibu tunggal yang tidak bahagia, Nizar yang tidak bernasib baik dalam percintaan dan Sawsan yang tidak dapat mengawal naluri seksual, menjadi hidup dalam halaman novel itu.

"Kami teruja untuk menyusuri kesilapan watak berkenaan dalam percintaan yang merentasi kanvas sejarah dan geografi sepanjang 30 tahun pemerintahan Hafez al-Assad (1971-2000) di Syria serta Asia Barat.

"Kami merasai jatuh bangunnya watak terbabit berlatarbelakangkan muzik dan lagu serta ekspresi nuansa bahasa Khalifa terhadap kekuasaan dan jentera tirani yang berlindung di sebalik logik, struktur dan tingkah laku sosial kelelakian," katanya dalam kenyataan di laman web The Banipal Trust of Arab Literature.

Panel hakim dianggotai oleh tokoh sastera dan penulis, Dr Alastair Niven yang juga bertindak sebagai pengerusinya; pengarang dan editor, Peter Kalu; Profesor Bahasa Arab, School of Oriental and African Studies (SOAS), Universiti London, Wen-chin Ouyang serta wartawan, Salam Sarhan.

Kenyataan itu berkata, No Knives in the Kitchens of This City ialah peringatan yang tepat pada masanya tetapi menyakitkan terhadap tragedi yang berlaku di hadapan mata kita, iaitu Syria hari ini.

Selain No Knives in the Kitchens of This City, turut disenaraikan ialah The Dove's Necklace karya asal Raja Alem dari Saudi Arabia; The Book of Safety (Yasser Abdel Hafez, Mesir) dan Limbo Beirut (Hilal Chouman, Lubnan).

Hadiah Saif Ghobash Banipal menawarkan hadiah wang tunai STG3,000 (RM16,500) yang bakal diberikan kepada penterjemah yang menterjemah karya sastera bahasa Arab yang kreatif dan imaginatif yang naskhah asal diterbitkan bermula 1967.

Anugerah yang diperkenalkan pada 2006 itu, bertujuan meningkatkan profil sastera kontemporari Arab dan mengiktiraf usaha penterjemah untuk membawa karya pengarang mapan serta penulis yang sedang meningkat kepada perhatian khalayak yang lebih luas.

Ia diasaskan oleh majalah sastera terjemahan Arab moden, Banipal dan Banipal Trust for Arab Literature serta dikendalikan oleh Society of Authors di United Kingdom (UK) yang turut menguruskan hadiah terjemahan sastera daripada pelbagai bahasa termasuk Belanda, Perancis, Jerman, Itali, Greek, Portugis, Sepanyol dan Sweden.

157 dibaca
Berita Harian X