Jumaat, 22 Disember 2017 | 12:07pm
KUALA LUMPUR 21 DISEMBER 2017. Buku Puisi: `Tentang Hati karya Ramlan Abd Wahab. NSTP/EMAILEMAIL

Kumpulan puisi cikgu Biologi sarat istilah sains

TENTU aneh membaca puisi dengan judul seperti Testosteron yang merujuk kepada istilah hormon yang dihasilkan testis dan berfungsi memelihara ciri seks jantina lelaki.

Bagaimana pula dengan Saprofit, iaitu kulat yang hidup dengan memakan organik mati dan reput; Simbion dan Epifit yang termasuk dalam fakta tumbuhan penumpang atau Epizoit yang merujuk kepada haiwan melekap pada tubuh haiwan lain?

Daripada istilah biologi manusia seperti Oksitosin dan Hipofisis hinggalah nama penyakit umpamanya EHF/EVD/Ebola, Kumpulan Puisi Tentang Hati karya Ramlan Abd Wahab pasti akan diterima dengan berbelah bahagi.

Ini kerana sejauh mana elemen saintifik dapat diterapkan atau mungkin dalam bahasa saintifiknya, asimilasi dalam karya sastera khususnya puisi pasti menjadi 'perdebatan' sastera.

Apatah lagi sains dan sastera dalam persepsi umum ibarat dua entiti daripada dua ekosistem berbeza yang bukan mudah menjalani proses simbiosis yang alamiah.

Sarat ilmu sains

Namun begitu kumpulan puisi di tangan penyair yang juga guru biologi ini yang bukan hanya menggunakan istilah saintifik sebagai judulnya, bahkan diksi, gaya bahasa dan perlambangan serta metaforanya sangat sarat dengan ilmu sains berkenaan.

Dalam banyak hal bahasa sains dalam kumpulan ini terlalu menguasai ranah bahasa puitisnya sehingga kita seolah-olah membaca teks sains atau dalam kes saya, 'dipaksa' ulang baca teks Biologi Tingkatan 4 dan 5!

Ia bertepatan seperti diungkapkan oleh pengarang dalam puisinya, Yang Ditemui:

Banyak lagi fenomena dan fakta

melimpahi buku nota

ayuhlah kita bawa keluar

sejagat dewasa.

Bagaimanapun, pembacaan sastera memerlukan pembaca untuk bersikap terbuka khususnya dalam menerima sama ada kelainan, eksperimen, pembaharuan mahupun kejanggalan.

Diterima saintis, pelajar

Apatah lagi kejayaan kumpulan puisi yang sarat fakta seperti Tentang Hati ini barangkali boleh dilihat sejauh mana ia dapat diterima oleh golongan saintis atau sekurang-kurangnya pembaca dalam kalangan generasi muda khususnya pelajar sains sendiri.

Penilaiannya bukan dikira sejauh mana ia dapat didekati oleh pembaca terbabit dengan memancing bahasa sainsnya, malah lebih utama cara menghubungkan elemen kemanusiaan kepada dunia berasas pengetahuan empirikal.

Dengan kata lain, ia perlu dinilai bagaimana buku ini dapat 'menyelamatkan' pelajar sains daripada menjadi manusia tanpa empati atau tergelincir kepada kelompok yang berfahaman saintisme.

Gaya dan langgam bahasa sainsnya hanya menjadi wadah untuk menampung pesan serta amanat penyair terhadap nilai kemanusiaan yang seimbang dan holistik.

Penyair bukan mahu bercerita mengenai elemen daripada organisma seperti manusia, tumbuhan dan mikroorganisme, sebaliknya meminjam fakta itu untuk dihubungkan dengan hakikat kehidupan manusia yang sementara.

Perlu uji kaji 'makmal'

Bagaimanapun pasti ia tidak dapat ditentukan oleh khalayak sastera, sebaliknya memerlukan uji kaji 'makmal' terhadap pelajar aliran sains sama ada karya sebegini mampu menarik mereka atau tidak.

Sesebuah karya bukanlah dinilai sehebat mana perlambangan yang digunakan atau seindah mana bahasa digubah, sebaliknya sedalam mana ia dapat menyelinap ke dalam kalbu pembaca, lalu mengetuk pintu hati.

Barangkali inilah menyebabkan judul kumpulan puisi ini masih menggunakan diksi yang sederhana, iaitu Tentang Hati meskipun di dalamnya sarat dengan fakta seperti teks Biologi.

INFO

Tentang Hati

Penulis: Ramlan Abd Wahab

Penerbit: Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)

Penilaian: 3

146 dibaca
Berita Harian X