Khamis, 11 Januari 2018 | 5:03pm
Dari kiri; Zaen Kasturi, Datuk Jasni Matlani dan SM Zakir antara calon Sasterawan Negara terbaru. - Foto Khairul Azhar Ahmad/Rohanis Shukri
GAMBAR fail, penulis buku, Malim Ghozali PK di majlis pelancaran buku Song of September sempena pesta buku di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tahun lalu. - Foto Zunnur Al Shafiq

Siapa Sasterawan Negara selepas Zurinah Hassan?

KUALA LUMPUR: Siapakah Sasterawan Negara (SN) terbaru? Mungkinkah Dr Siti Zainon Ismail atau Mohamed Ghazali Abdul Rashid yang lebih dikenali sebagai Malim Ghozali Pk?

Mungkinkah ia milik penulis generasi lebih muda seperti Zainal Palit (Zaen Kasturi) dan Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir) atau anugerah itu 'terbang' merentasi Laut China Selatan untuk menobatkan pengarang Sabah dan Sarawak seperti Datuk Jasni Matlani, Jong Chian Lai atau penulis kelahiran Kedah yang sudah lama menetap di Negeri Di Bawah Bayu, iaitu Azmah Nordin?

Kali terakhir Anugerah Sastera Negara (ASN) diumumkan pada 27 April 2016 yang menyaksikan Datuk Dr Zurinah Hassan dinobat SN ke-13.


GAMBAR fail, penerima Anugerah Sastera Negara Ke-13, Datuk Dr Zurinah Hassan. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Sehingga kini, belum ada desas-desus siapa seterusnya yang akan diangkat sebagai SN.

Walaupun penobatan SN itu tidak semestinya dibuat setiap tahun, berdasarkan barisan pengarang mapan yang masih hidup dan menulis dalam bahasa Melayu sekarang, sepatutnya tidak timbul isu kekontangan calon.

Tidak keterlaluan untuk menyebut dari Sabah hingga Perlis, hampir setiap negeri sebenarnya mempunyai pengarang yang boleh dicalonkan sebagai SN.

Ramai calon layak

Bagaimanapun ketiadaan pencalonan itu yang menimbulkan keresahan khalayak sastera khususnya.

Bagi Pensyarah Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Dr Awang Azman Awang Pawi, beliau mengesahkan sastera kebangsaan mempunyai ramai calon yang layak untuk dipertimbangkan sebagai SN, termasuk penulis di bawah usia 60 tahun.

"Namun masalah kita adalah menentukan golongan berwibawa untuk mencalonkan mereka ini.

"Hal pencalonan bukan mudah dan boleh diselesaikan dalam tempoh singkat sebulan dua atau enam bulan hingga setahun.

"Sebaliknya, ia memerlukan lebih daripada setahun.

"Kita bukan hanya mendokumentasikan karya seseorang calon, sebaliknya turut menganalisis kekuatan karyanya," katanya.

Tegas Awang Azman, untuk hadiah berprestij yang menjadi pengiktirafan tertinggi kerajaan bertaraf negara tidak molek untuk menghantar pencalonan ringkas.

"Sebaliknya, ia adalah dokumentasi mengenai calon, pencapaian dan kekuatannya," katanya.

Hal ini agak membimbangkan kerana seperti ditegaskan Awang Azman, ia sukar disempurnakan pada masa singkat. Meskipun pencalonan dibuka kepada masyarakat awam, persatuan penulis dan ahli akademik, hal berkaitan pengorbanan masa itu tetap menjadi isu utama.

13 pengarang dinobat SN sejak 1981

Sehingga kini 13 pengarang dinobatkan sebagai SN sejak idea mengenainya dilontarkan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Hussein Onn pada 1976.

Panel ASN pertama ditubuhkan pada 1979 yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan yang ketika itu disandang oleh Tun Musa Hitam.

ASN yang membawa gelaran SN itu diumumkan pertama kali padanya 1981 dengan penerimanya adalah pengarang kelahiran Bentong, Keris Mas atau nama sebenarnya Kamaluddin Muhamad.

INFO

  • Anugerah Sastera Negara (ASN) dikendalikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariat di bawah seliaan Kementerian Pendidikan.
  • ASN mengangkat pengarang terpilih sebagai Sasterawan Negara (SN) yang akan menerima wang tunai RM30,000 dan kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta, kemudahan untuk penerbitan karya serta kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan.
  • Sejak 2003, nilai hadiah ditambah jadi RM60,000 di samping kemudahan terbit karya hingga RM500,000.
284 dibaca
Berita Harian X