Jumaat, 12 Januari 2018 | 11:56am
NOOR Elissa Hajidan menunjukan aplikasi apps kalender 2018 selepas Majlis pelancaran Kalender 2018 Balai Seni Negara di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur. - Foto Syarafiq Abd Samad
DATUK Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa (empat dari kanan) beramah mesra bersama penerima anugerah khas media ketika Majlis pelancaran Kalender 2018 Balai Seni Negara di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur turut bersama Timbalan Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad (dua dari kanan). - Foto Syarafiq Abd Samad

Aplikasi Go Gallery promosi karya seni tanah air

KUALA LUMPUR: Aplikasi Go Gallery yang diperkenalkan Balai Seni Negara dengan kerjasama galeri swasta di seluruh negara akan dapat mempromosikan karya penggiat seni visual tanah air.

Ketua Pengarahnya Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata aplikasi itu akan memudahkan peminat seni mendapatkan maklumat terkini mengenai program atau aktiviti yang dianjurkan oleh Balai Seni Negara dan galeri swasta sepanjang tahun.

"Usaha mempromosikan industri seni negara bukan hanya terletak pada kami, sebaliknya kerjasama dengan pihak galeri swasta adalah penting untuk terus memartabatkan industri seni negara.

"Aplikasi itu membolehkan galeri swasta yang berdaftar memuat naik maklumat seperti karya terbaharu, pameran dan juga aktiviti yang berkaitan dengan seni visual bagi makluman umum," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kalendar Balai Seni Negara 2018, Katalog KL Biennale 2017 dan Go Gallery Apps di sini.

Bersempena sambutan 60 tahunnya, Balai Seni Negara turut melancarkan Kalendar Program 2018 bagi mempromosikan perancangan dan aktiviti sepanjang tahun ini.

Mohamed Najib berkata, selain penganjuran Kuala Lumpur Biennale (KL Biennale) dari 1 Nov 2017 hingga 31 Mac ini, pihaknya mengetengahkan tujuh ruang pameran Galeri Reka bersempena sambutan 60 tahun di sekitar Balai Seni Negara untuk interaktif seni bersama pengunjung.

"Antara ruang yang disediakan ialah Pameran Hobi Art yang menampilkan kegiatan sekeluarga untuk membentuk dan mewarna; The Wall bagi kreativiti golongan muda dalam seni grafiti serta Grey Zone dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam seni persembahan.

"Konsep itu bagi memperbanyakkan interaktif bersama pengunjung yang datang, iaitu dengan adanya ruang berkenaan pengunjung bukan hanya menyaksikan pameran, bahkan berkongsi kreativiti masing-masing menerusi aktiviti interaktif yang disediakan," katanya. - BERNAMA

108 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »