;
Rabu, 7 Februari 2018 | 8:03pm

Saintis dedahkan manusia purba British berkulit gelap

LONDON: Rangka manusia British hampir lengkap tertua, Cheddar Man mempunyai ciri kulit gelap, mata biru dan rambut kerinting berwarna hitam ketika menetap di barat daya England, 10,000 tahun lalu, kata saintis yang mengkaji DNAnya.

Penemuan itu menyarankan pempigmenan atau pewarnaan akibat pemendapan pigmen di kulit yang lebih cerah dilihat sebagai tipikal orang Eropah utara kini adalah senario lebih mutakhir berbanding seperti yang difikirkan sebelum ini, menurut pengkaji University College London (UCL) yang terbabit dalam projek itu.

Warna kulit Cheddar Man digambarkan sebagai 'gelap kepada hitam' oleh pasukan saintifik yang turut membabitkan penyelidik daripada London Natural History Museum yang rangka manusia itu dipamerkan di Galeri Evolusi Manusia.

"Untuk melangkaui apa yang dapat didedahkan oleh tulang dan memperoleh gambaran secara saintifik apakah bentuk sebenarnya adalah mengagumkan, manakala keputusannya boleh dianggap pencapaian yang mengejutkan," kata Ketua Penyelidik Asal-Usul Manusia, London Natural History Museum, Chris Stringer.

Ditemui di gua di Cheddar Gorge, Somerset pada 1903, manusia era Mesolitik itu dikategorikan sebagai pemburu-pemungut yang nenek moyangnya berpindah ke Eropah pada penghujung Zaman Ais.

300 generasi selepas itu, sekitar 10 peratus daripada keturunan pribumi British boleh dikaitkan kepada orang Cheddar Man, kata saintis..

Sebagai sebahagian projek yang ditugaskan oleh stesen dokumentari televisyen, Channel 4 di Britain, pakar daripada Makmal DNA Kuno Natural History Museum, menggerudi lubang kecil pada tengkorak yang bertujuan untuk memperoleh maklumat genetik.

Luar biasanya, DNA itu masih terpelihara, sekali gus membolehkan saintis untuk menjadualkan genom Cheddar Man buat pertama kali dan menganalisanya untuk menetapkan aspek penampilannya.

Kemudian, seniman Belanda yang pakar dalam pembuatan model paleontologi, Alfons dan Adrie Kennis, menggunakan pengimbas berteknologi tinggi untuk membentuk model kepala Cheddar Man tiga dimensi.

Model yang ditegaskan oleh UCL dan Natural History Museum sebagai wajah Cheddar Man dengan ketepatan yang belum pernah dibuat sebelum ini, menunjukkan manusia dengan kulit gelap, tulang pipi yang menonjol, mata biru dan rambut hitam yang kasar.

Model itu akan ditunjukkan dalam dokumentari Channel 4 yang dijadualkan untuk ditayangkan pada 18 Februari ini.

Sementara itu, pakar DNA kuno dari Natural History Museum, Selina Brace yang turut mengambil bahagian dalam penyusunan genom Cheddar Man dipetik berkata, model itu 'benar, benar hebat.' - Reuters

1950 dibaca
Berita Harian X