Selasa, 20 Februari 2018 | 11:56am
Foto AFP

Gua dalam air simpan kuil kaum Maya

MEXICO CITY: Ahli arkeologi yang meneroka gua dalam air terbesar di dunia - yang baru ditemui di Mexico - membentangkan penemuan mereka termasuk fosil haiwan sloth gergasi dan kuil yang dipersembahkan untuk dewa perdagangan kaum Maya.

Pengkaji menemukan dua rangkaian besar gua dalam air di Semenanjung Yucatan, iaitu rangkaian Sac Actun dan Dos Ojos yang disambungkan, sekali gus membentuk struktur sedemikian yang paling besar di dunia.

Menyelam dengan peralatan SCUBA, mereka meneroka tinggalan kuno yang ada dalam gua itu lebih seribu tahun dalam projek yang ditaja oleh Institut Antropologi dan Sejarah Mexico (INAH).

Pengkaji percaya paras air dalam gua itu mengalami pasang surut dan ia menjadi sumber air pada musim kemarau teruk yang ada kalanya sangat berbahaya.

Sebahagian haiwan dan manusia yang berlindung di dalamnya tidak berjaya keluar hidup-hidup. Kini, rangka mereka menjadi khazanah berharga kepada saintis yang membolehkan pengkaji menyusun kembali sejarah gua berkenaan bermula zaman Pleistocene (2.6 juta hingga 11,700 tahun lampau).

Rangka haiwan termasuklah gomphothere, iaitu binatang menyerupai gajah yang sudah pupus, selain sloth gergasi dan beruang.

Ahli arkeologi dalam air, Guillermo de Anda, berkata ada juga artifak yang ditinggalkan oleh manusia seperti tulang manusia yang sudah rentung, seramik dan lakaran dinding.

"Hampir mustahil tapak seumpamanya ada di tempat lain dengan ciri-ciri berkenaan. Di dalamnya, terdapat sejumlah artifak arkeologi yang sangat mengagumkan dan tahap pemuliharaannya juga amat menakjubkan," katanya.

Tinggalan kuno termasuklah kuil untuk dewa perang dan perdagangan kaum Maya dengan tangga yang menghubungkannya melalui lubang benam di tengah hutan.

Ahli arkeologi berkata, ratusan lubang benam yang turut wujud dan bersambung dengan gua berkenaan, sekali gus menjadi tanda aktiviti ritual di kawasan terbabit.

Kaum Maya Purba menganggap gua khususnya yang membawa kepada sumber air sebagai tempat suci. -AFP

2848 dibaca
Berita Harian X