Selasa, 20 Februari 2018 | 6:12pm
KETUA Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Abdul Adzis Abas (tiga dari kiri) menyampaikan kunci pejabat penyair kepada Penaung Penyair, Tan Sri Hamad Kama Piah Che' Othman (dua dari kanan) diperhatikan Presiden Presiden Penyair, A. Rahim Abdullah (dua dari kiri) pada Majlis perasmian Pejabat Penyair Malaysia dan Majlis Mesra Penyair bersama media yang diadakan di Persatuan Penyair Malaysia, Bangunan Lama, Dewan Bahasa Dan Pustaka. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

PENYAIR bantu DBP, kembangkan sastera

KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuka ruang luas kepada persatuan berkaitan sastera untuk bekerjasama dalam mengembangkan sastera kebangsaan.

Hal itu dibuktikan dengan membenarkan Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) membuka pejabatnya di DBP.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas, berkata kewujudan pejabat PENYAIR di DBP bukan sekadar membantu mengkoordinasi kegiatan persatuan itu, bahkan membantu DBP mengembangkan sastera.

"PENYAIR yang dibarisi tokoh sastera nasional memudahkan mereka untuk membantu pihak kami," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat PENYAIR dan Majlis Mesra Penyair Bersama Media di DBP di sini, hari ini.

Yang turut hadir Penaung PENYAIR, Tan Sri Dr Hamad Kama Piah Che Othman; Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Zurinah Hassan; Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan dan Presiden PENYAIR, A Rahim Abdullah.

Abdul Adzis berkata, meskipun dunia penerbitan dilanda pelbagai masalah, manakala sastera dan bahasa kebangsaan selalu dicabar, kewujudan PENYAIR sangat dialu-alukan.

"Kita tidak akan biarkan bahasa Melayu diancam dan dihina terutama oleh orang Melayu sendiri," katanya.

Sementara itu, A Rahim berkata, PENYAIR bukan memperjuangkan puisi moden semata-mata, bahkan puisi klasik seperti gurindam dan pantun.

"Persatuan ini juga meraikan penyertaan generasi muda dan ia bukanlah sebuah persatuan elit," katanya.

Selain PENYAIR, aras 5 Bangunan Lama DBP turut menyediakan 10 bilik kepada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Persatuan Penterjemah Malaysia dan Persatuan Han Malaysia.

253 dibaca
Berita Harian X