Jumaat, 23 Februari 2018 | 4:15pm
LUKISAN potret yang memaparkan dua kekasih gelap seniman terkenal, Pablo Picasso, iaitu Marie-Therese Walter dan Dora Maar dijangka bakal dijual pada harga mencecah RM196 juta. - Foto EPA

Potret kekasih gelap Picasso dijangka cecah RM196 juta

LONDON: Lukisan potret yang memaparkan dua kekasih gelap seniman terkenal, Pablo Picasso, iaitu Marie-Therese Walter dan Dora Maar dijangka bakal dijual pada harga mencecah RM196 juta dalam majlis lelongan di Sotheby, minggu hadapan.

Harga itu meskipun tidak mampu mengembalikan rekod karya termahal yang sebelum ini dipegang Picasso, dianggap masih mampu menarik perhatian pasaran.

Pengarah Jabatan Impressionis dan Seni Moden Sotheby, James Mackie, mengakui pasaran untuk karya yang dianggap sebagai adi karya sukar dijangka.

"Namun, potret ini sangat bernilai. Ia dihasilkan pada kemuncak kerjaya Picasso," katanya.

Dari satu sisi yang lain pula, potret gaya impresionis yang dikenali sebagai Femme au béret et à la robe quadrille itu dianggap misteri kerana pemiliknya tidak diketahui.

Selepas Picasso meninggal dunia pada 1973, ia 'hilang' begitu sahaja sebelum muncul dalam senarai lelongan Sotheby yang bakal berlangsung 28 Februari ini di London.

"Femme au béret et à la robe quadrille dihasilkan Picasso pada 1937, iaitu tahun yang sama beliau menghasilkan karya yang sangat sinonim dengan beliau, iaitu catan antiperang Guernica dan siri Weeping Woman.

Walter berusia 28 tahun ketika potret itu dihasilkan. Berasal dari Perancis, ketika mula bercinta dengan Picasso, Walter baru berusia 17 tahun. Picasso ketika itu sudah berkahwin dengan penari ballet, Olga Khokhlova.

Pada 1935, Walter melahirkan Maya Widmaier-Picasso, yang turut dipotretkan Picasso menerusi siri Maya With Doll.

Walter membunuh diri pada 1977 empat tahun selepas kematian Picasso, manakala Dora Maar atau nama sebenarnya Henriette Theodora Markovitch meninggalkan Picasso pada 1944.

Picasso sebelum ini memegang rekod dunia untuk karya termahal. Karyanya The Women of Algiers (Version 0) dijual pada harga RM879 juta dalam majlis lelongan Christie New York pada 2015.

Bagaimanapun rekod itu lebur November tahun lalu, apabila Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman membeli karya Leonardo da Vinci, Salvator Mundi pada harga RM2.2 bilion pada November tahun lalu.

Selain Femme au béret et à la robe quadrille, tiga lagi karya Picasso yang akan dilelong pada harga antara RM78.4 juta hingga RM98juta, selain koleksi lukisan Salvador Dali. - AFP

488 dibaca
Berita Harian X