Isnin, 26 Februari 2018 | 12:06pm
DARI kiri sekali, Rozlan Mohamed Noor selaku moderator, Saifullizan Yahaya, Nurul Asyikin Abd Hamid (Aloy Paradoks), Dr Norhayati Abd Rahman dan Mohd Khair Ngadiron di Istitut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Wangsa Maju.- Foto Nik Hariff Hassan

Penulis jangan malu jual buku sendiri

KUALA LUMPUR: Sastera perlu disuntik dengan nilai komersial tanpa memperjudikan pengisiannya termasuk penulis sendiri perlu terbabit menjual buku mereka dan tidak lagi terikat kepada pegangan 'kerja penulis hanya menulis.'

Apatah lagi buku sastera selalu dilihat dengan konotasi yang tidak molek, antaranya kandungan berat dan sukar dijual sedangkan jika kena dengan gaya pemasarannya, naskhah sastera mampu menguasai pasaran.

Hal itu dikongsikan oleh empat jemputan pada Wacana Komersialisasi Sastera di Wisma Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Wangsa Maju, di sini.

Dimudahcarakan oleh Ketua Jabatan Buku Malaysia ITBM, Rozlan Mohamed Noor, wacana itu menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Mohd Khair Ngadiron; pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Noorhayati Ab Rahman; Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Saifullizan Yahaya dan Ketua Pegawai Eksekutif Roman Buku Sdn Bhd, Nurul Asyikin Abd Hamid (Aloy Paradoks).

Mohd Khair berkata, konotasi buku sastera tidak laku menyebabkan tidak banyak pihak sanggup menerbitkannya.

Perlukan promosi

"Pada 2011, ITBM menubuhkan Jabatan Buku Malaysia untuk memfokus naskhah sastera. Tidak semua buku sastera tidak laku, ada yang sangat laris dan diulang cetak," katanya.

Tegas Mohd Khair, jualan buku bergantung pada kombinasi penulis dan penerbit. Ia perlukan promosi selain bukan hanya dijual oleh penerbit, tetapi juga oleh penulis.

"Penulis perlu bekerjasama dengan penerbit untuk mempromosi buku mereka dan tidak lagi boleh malu-malu," katanya.

Pandangan Mohd Khair itu dikongsi oleh Nurul Asyikin yang berpengalaman dalam dunia penerbitan indie.

Buku puisi mampu dijual

Beliau berkata, buku sastera terutama buku puisi mampu dijual jika ia dibuat mengikut pelan perniagaan yang betul.

"Saya meminati puisi sejak remaja tetapi ketika itu, anak muda seusia saya tidak beli pun buku puisi dan tidak baca puisi.

"Kira-kira 10 tahun lalu, bermodalkan RM70 saya menerbitkan buku puisi dalam jumlah yang kecil dan keuntungan itu yang dipusing-pusingkan hingga mampu menerbitkan judul baharu pada kadar 3,000 salinan untuk cetakan pertama," katanya.

Nurul Asyikin berkata, apa yang dibuatnya adalah sebelum menerbitkan buku puisi, beliau mempromosikan gaya hidup trendy penulis di media sosial.

Strategi itu, katanya, ternyata berjaya apabila mampu menjual buku puisi hingga mencecah 50,000 naskhah di bawah jenama Selut Press. Seterusnya terbitan kedua dapat dijual sebanyak 45,000 naskhah.

Malah, beliau pernah menjual buku puisi di tepi pantai dengan beralaskan kain selama dua jam tetapi membawa pulangan RM4,000.

Meskipun begitu, mutakhir ini pasaran agak suram dan banyak penerbit buku yang mengeluh dan hal ini disedari semua pemain industri buku juga penulis.

Dalam hal ini Saifullizan berpendapat, kesuraman pasaran buku pernah berlaku pada dekad 1980-an dan kelihatannya ia berulang dalam bentuk lingkaran.

"Sekitar 1980-an, masalah itu diatasi dengan kempen gerakan membaca yang dibuat Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kebangkitan industri buku

"Kini ia berlaku lagi dan kita tak pasti apa sebabnya, tetapi industri buku pasti akan bangkit kembali cuma kita tidak tahu apakah bentuknya," katanya

Kebangkitan semula industri buku ini berkait rapat dengan langkah untuk mengkomersialkannya.

Bagi Noorhayati, mengkomersialkan karya sastera tidak perlu sehingga berkompromi terhadap pengisiannya.

"Nama penulis adalah jenama kuat untuk orang membeli, dalam hal ini peranan pemasaran sangat penting dan kita perlu berbalik kepada konsep 4P, product atau produk, price (harga), place (tempat) dan promotion (promosi)," katanya.

532 dibaca
Berita Harian X