Isnin, 26 Februari 2018 | 7:01pm
PRESIDEN Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Rais Yatim. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Kajian sejarah Islam tidak lengkap tanpa alam Melayu

KUALA LUMPUR: Kajian Islam di Timur pula tidak lengkap jika tidak mengkaji kedudukan Islam di alam Melayu atau Islam di China, kata Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Rais Yatim.

Rais yang juga Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia berkata, kajian Islam di alam Melayu perlu melihat sejarah, ekonomi, budaya dan norma sosial masyarakatnya,

"Hal ini disebabkan alam Melayu yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Selatan Thailand dihuni oleh 300 juta orang Islam berbanding 218 juta orang sahaja di Asia Barat.

"Tamadun orang Melayu sudah berusia ribuan tahun dan orang Melayu tidak datang dari Yunan di China, jauh sekali dari Taiwan.

"Orang Melayu berasal dari tanah ini yang dikenali sebagai Dataran Sunda," katanya dalam Siri Pertama Syarahan Global ISTAC 2018 di Institut Tamadun Islam dan Dunia Melayu Antarabangsa (ISTAC), UIAM di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin dan Shaikh al-Kulliyyah ISTAC, Prof Dr Abdelaziz Berghout.

Rais berkata, masyarakat Melayu juga perlu menapis unsur Arab dalam amalan kehidupan harian sebaliknya berpandu kepada Al-Quran.

"Sebagai Islam di alam Melayu atau Islam di China kita ada budaya yang berbeza dengan Arab.

"Pendidikan Islam berteraskan rukun Islam, rukun iman, menjamin hak wanita dan menekankan kepentingan orang Islam untuk menuntut ilmu.

"Dalam dunia Melayu nilai ini sudah ada dan kita perlu membangunkannya iaitu nilai budi, gotong-royong, muafakat," katanya.

Rais berkata, hari ini alam Melayu berhadapan cabaran, bahasa Melayu dan bahasa Indonesia mula terhakis kerana bahasa Inggeris.

"Budaya semakin cepat mencair, adakah sejarah dan dunia Melayu akan diracun dan diganti dengan dogma dan konsep Barat?

"Di mana nilai Asia di Malaysia dan Indonesia dan apa akan jadi dengan bahasa dan adat kita?" katanya.

Tegas Rais, sarjana yang mengkaji Islam di Timur perlu juga untuk mengkaji pemikiran Melayu. Justeru, ISTAC adalah medan akademik terbaik untuk berbuat demikian.

Siri syarahan global anjuran ISTAC adalah bertujuan untuk menggembleng cara berfikir dan bertindak sebagai Muslim. Selain itu, ia juga mencari pengertian baru berhubung dunia Islam Asia Barat dan Nusantara.

567 dibaca
Berita Harian X