Jumaat, 9 March 2018 | 3:15pm
ISHAK Hamzah. - Foto Saifullizan Tamadi

MABOPA minta timbang semula baucar buku melalui KADS1M

KUALA LUMPUR: Pemain industri buku tempatan meminta timbang semula keputusan Kementerian Pengajian Tinggi memberikan bantuan baucer buku bernilai RM250 melalui Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M).

Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Ishak Hamzah, berkata pemberian melalui KADS1M bermaksud akan berlakunya pengeluaran tunai dan kebebasan berbelanja kepada pelajar.

"Kementerian Pengajian Tinggi melanggari pengumuman Menteri Kewangan ketika pembentangan Bajet 2018 yang menyebut pelajar akan diberikan baucer buku," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Ishak berkata, kementerian perlu ambil kira kepentingan pembangunan modal insan kerana lebih mendorong pelajar berbelanja sesuka hati berbanding membeli bahan bacaan.

"Ini juga boleh melumpuhkan industri buku walaupun kepimpinan industri pernah bertemu dan memaklumkan perlunya baucer buku sebagai talian hayat industri buku," katanya.

Rabu lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dalam program #KIT Keeping In Touch Menteri Pendidikan Tinggi bersama Pemimpin Mahasiswa di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam mengumumkan penuntut universiti awam (UA) dan swasta dijangka menerima bantuan pelajar pendidikan tinggi (BPPT) bagi tahun 2018 yang akan dikreditkan KADS1M mulai 15 Mac ini.

Pemberian KADS1M itu membabitkan peruntukan bernilai RM300 juta yang akan disalurkan kepada 1.2 juta penuntut pelbagai institusi pengajian tinggi serta pelajar Tingkatan Enam pada tahun ini.

Peruntukan itu boleh digunakan bagi pelbagai tujuan termasuk pembelian buku, alat tulis, peralatan komputer dan penggunaan internet.

Ishak berkata, pihaknya meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk melihat isu ini, sekali gus mengembalikan baucer buku.

"Ekosistem industri buku sangat luas serta berperingkat. Penafian terhadap penghapusan baucer buku membabitkan rantaian impak negatif yang sangat meluas dan isi rumah yang sangat besar.

814 dibaca
Berita Harian X