Rabu, 14 March 2018 | 1:39pm
BUKU tulisan Azimin Daud, Rahsia Pengacara Hebat: Tip dan Skrip Pengacaraan. - Foto Sairien Nafis
AZIMIN Daud ketika mempromosikan buku tulisannya. - Foto Sairien Nafis
AZIMIN Daud ketika mempromosikan buku tulisannya kepada pelakon, Ashraf Muslim. - Foto Sairien Nafis
BUKU tulisan Azimin Daud, Berbalas Pantun Mandala Sukma. - Foto Sairien Nafis

Jual buku sendiri, bina hubungan penulis-pembaca

KUALA LUMPUR: Terlalu banyak saranan supaya penulis tidak boleh setakat memiliki kemahiran berkarya saja, sebaliknya perlu menguasai strategi menjual, iaitu peranan yang selama ini diletakkan di atas bahu penerbit saja.

Bagaimanapun soalnya mampukah penulis dapat membantu dalam meningkatkan jualan terutama dalam kelembapan pasaran buku masa kini?

Penulis buku pantun, Azimin Daud, berkata penulis perlu mengubah paradigma dan keluar daripada kebiasaan dengan memiliki pelbagai kemahiran termasuklah menjual buku.

Azimin menyifatkan penulis sebagai ejen terbaik promosi dan publisiti, manakala usaha memasarkan sendiri buku akan memberi peluang berkomunikasi secara terus dengan pembaca mengenai kekuatan serta keistimewaan karya.

"Saya mula memikirkan pemasaran apabila melihat kelembapan jualan buku. Meskipun bukan mudah, saya gunakan kerancakan media sosial.

"Saya banyak menjual buku saya melalui media sosial Facebook dan memastikan ia ditandatangani, selain memberi hadiah misteri yang disediakan sendiri.

"Peluang menjual buku secara terus ini disukai pembaca kerana selain berkomunikasi melalui media sosial, mereka dapat berjumpa dan memperoleh tandatangan penulis yang memberi nilai sentimental," katanya kepada Sastera & Budaya BH di sini.

Azimin berkata, hasil membantu penerbit itu, buku Berbalas Pantun Mandala Sukma terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kini memasuki cetakan ketiga, manakala buku keduanya, Rahsia Pengacara Hebat: Tip dan Skrip Pengacaraan terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) akan memasuki cetakan keempat.

Sementara itu, penulis novel dan cerpen, Hasrul Rizwan, berkata beliau akan memuat naik beberapa bab terawal secara percuma di aplikasi Wattpad.

Katanya, melalui cara itu, ia dapat dibaca, dinilai dan pembaca kemudian boleh membuat pembelian terus.

Penulis novel Bercakap Dengan Jun ini berkata, meskipun menggunakan kesemua laman sosial, 70 peratus jualan bukunya datang daripada pembaca dan pengikutnya di Twitter berbanding Facebook.

Pada awal pembabitan dalam penulisan, Hasrul turut meletakkan tanggungjawab menjual kepada penerbit tetapi beberapa tahun kebelakangan ini, beliau menjual sendiri melalui pesanan pratempah.

"Tidak semua buku penerbit alternatif dijual di kedai buku utama seluruh negara. Jadi saya tidak lagi meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada penerbit walaupun kerja mencetak, memasar dan promosi memang tugas mereka.

"Jualan pratempah yang saya mulakan mendapat sambutan hangat pembaca dan saya menghabiskan dua hari menandatangani kesemua buku yang ditempah," katanya.

Hasrul berkata, tidak salah sekiranya penulis memilih tidak menjual dan melepaskan tugas itu kepada penerbit tetapi bagi menjual karya memberi peluang untuk membentuk hubungan 'intim' antara pembaca dan penulis.

"Menulis kata rangsangan buat pembaca, membalut sendiri buku dan kemudian mengeposnya, ia satu bentuk penghargaan penulis kepada pembaca.

"Mungkin ia dilihat sebagai perkara ringan tetapi sebagai penulis cukup membahagiakan melihat penat-lelah akhirnya terbayar dengan sokongan pembaca," katanya.

Beliau berkata, gandingan usaha penulis, penerbit dan kedai buku itu dapat meningkatkan jualan sehingga masih ada buku terawalnya diulang cetak.

Bagi penulis buku Smart Solat - Solat Mengikut Amalan Rasulullah SAW Tepat, Yazid Maarof, di samping menulis buku, beliau turut mengadakan seminar dan bengkel bagi membolehkan kandungan bukunya difahami dengan lebih mendalam oleh pembaca.

Katanya, seminar dan bengkel itu berperanan sebagai sesi 'bedah buku' bagi mengupas keseluruhan kajiannya.

"Sesi bedah buku penting, apatah lagi kajiannya saya lakukan selama lima tahun dan dengan mengadakan seminar dan bengkel, saya mempunyai lebih banyak peluang menyampaikan maklumat secara berdepan kepada orang awam," katanya.

420 dibaca
Berita Harian X