Selasa, 27 March 2018 | 6:52pm
TIMBALAN Pengarah Kajian dan Penerbitan, Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan dan Alam Melayu (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nor Faridah Abdul Manaf. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Mencari titik serasi sastera Islam, Inggeris

GOMBAK: Kesusasteraan Islam dan Inggeris sebenarnya tidak memiliki pemisahan walaupun ada yang berasa janggal dalam mencari titik persamaan.

Timbalan Pengarah Kajian dan Penerbitan, Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan dan Alam Melayu (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nor Faridah Abdul Manaf, berkata ia berdasarkan pandangan sarjana Islam, Syed Ali Ashraf.

Nor Faridah berkata, menurut ahli akademik kelahiran Bangladesh yang meninggal pada 1998 itu, halangan tidak sepatutnya wujud dalam pembelajaran kedua-dua kesusasteraan itu.

Beliau berkata, Syed Ali melihat kepentingan kesusasteraan termasuk kesusasteraan Inggeris sebagai bentuk pengetahuan dalam memandu dan membantu membentuk personaliti seseorang.

"Mengikut Syed Ali, sekiranya dibaca selari dengan kritikan sastera Islam, karya sastera Inggeris juga memiliki kepentingannya dalam memperkuat karakter dan mempertajam kemahiran kritikal dan kreatif.

"Bagaimanapun, Syed Ali masih melihat keperluan mendekatinya dengan teliti, terutama bagi memahami sepenuhnya peradaban Barat yang tidak semestinya sentiasa bertentangan dengan pemikiran Islam," katanya pada Simposium Pendekatan Kontemporari Sastera Islam di Asia Tenggara di UIAM di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Rektor (Kajian dan Inovasi) UIAM, Prof Dr Rahmah Ahmad H Osman dan Presiden Liga Kesusasteraan Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Dr Abdul Rahman Chik.

Nor Faridah berkata, Syed Ali yang turut dilatih dalam kesusasteraan Inggeris menegaskan kepentingan pembacaan sastera berdasarkan konsep kemanusiaan dalam Islam, termasuk penekanan kepada kebaikan dan kejahatan yang bukannya diberi interpretasi secara bebas.

"Alphonse Dougan dalam artikel Good and Evil in Islam, menegaskan definisi kebaikan dan kejahatan dalam Islam berasaskan kepada tujuan dan makna kehidupan manusia.

"Matlamat utama pula ialah meletakkan kepercayaan kepada Allah atau iman, makrifatullah dan mahabbatullah disertakan dengan ibadat kepada-Nya.

"Ini bermakna apa sahaja yang membawa seseorang lebih dekat kepada Allah akan memberi kebaikan, manakala apa sahaja yang membawanya lebih jauh daripada-Nya adalah bentuk kejahatan," katanya ketika membentangkan kertas kerja Apabila Timur bertemu Barat, Lahirlah Kesusasteraan Islam Inggeris.

Kerja kreatif refleksi diri

Menurut Nor Faridah, meskipun Syed Ali bersetuju sastera yang baik juga boleh dihasilkan oleh mereka yang tidak mempunyai kepercayaan, mustahil seseorang itu untuk membezakan sesuatu yang baik atau penuh kejahatan tanpa rangka kerja moral yang sepatutnya.

"Syed Ali percaya pentingnya peranan kerja kreatif sebagai refleksi diri dan jika seseorang penulis memiliki kepercayaan, ia akan menemukan mereka dengan makna kehidupan serta membantu orang lain untuk turut menemuinya," katanya.

Nor Faridah berkata, pengajian mengenai Kesusasteraan Inggeris dan Islam di luar negara bukan sesuatu baharu, malah banyak kajian mengenainya, termasuk pengaruh tradisi kesusasteraan Islam kepada Eropah.

"Minat Barat ini yang dikatakan semakin meningkat selepas tragedi 11 September, turut memperlihatkan penganjuran pelbagai persidangan utama bukan sahaja di United Kingdom (UK), malah Amerika Syarikat (AS).

"Saya sememangnya mendapat inspirasi dengan gerakan dinamik mereka dan jika mereka boleh menghargai persilangan budaya antara Islam dan Barat ini, saya kira kita juga sepatutnya mula menikmati sejarah serta tradisi ini.

"Justeru, dalam merujuk teks Barat yang ditulis bukan Islam atau Islam yang tidak mengamalkan kehidupan Islam sekalipun, saya akan merujuk kepada rangka kerja oleh Syed Ali mengenai konsep Pengajaran Islam yang semuanya mesti didasarkan kepada pemahaman pada al-Quran dan sunah.

"Interpretasi kesusasteraan Syed Ali terhadap teks Barat menambah dimensi dalam keperluan memahami budaya silang dan sensitiviti bagi kehidupan yang lebih harmoni," katanya.

Nor Faridah berkata, bahasa adalah satu alat, dengan fungsi utamanya adalah untuk komunikasi dan ekspresi.

"Justeru, jika bahasa dilihat sebegitu, tidak sepatutnya ada ketakutan melihat kesusasteraan Inggeris menunjukkan keserasiannya dengan Islam asalkan segala yang diunjurkan Syed Ali diteliti," katanya.

309 dibaca
Berita Harian X