Rabu, 28 March 2018 | 3:24pm
ANTARA penyair wanita yang hadir pada Malam Wanita Pemuisi di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Penyair wanita perlu budaya 'beregu' dalam berkarya

KUALA LUMPUR: Kekurangan penyair wanita dalam ranah puisi tanah air berpunca daripada tidak mempunyai budaya 'beregu' dalam berkarya, selain tidak memperlihatkan konsistensi dalam berkarya.

Novelis, Sri Diah Shaharuddin, berkata hal itu berbeza dengan apa yang diperlihatkan dalam kalangan penyair lelaki di negara ini.

Beliau berkata, kebanyakan penyair wanita sekadar memerhatikan karya rakan sejantina sedangkan penyair lelaki lebih banyak menunjukkan kebersamaan dan menjadi penggalak dalam kalangan mereka.

Daripada pemerhatian penulis Kumpulan Puisi: Amukan Hati ini, apabila seorang penyair lelaki menghasilkan karya, penyair lain akan 'menyambutnya' dan memberi kritikan serta pandangan terhadap karya yang dihasilkan.

"Dalam kepenyairan tanah air, saya lihat penyair wanita tanah air masih ramai tetapi yang menyebabkan jurang terserlah dengan penyair lelaki adalah sifat tidak konsisten dan tidak fokus.

Penulis lelaki gigih berkarya

"Penulis lelaki menggebu-gebu dan sangat gigih dalam berkarya malah mereka mempunyai regu dan akan saling bantu membantu, selain memberi kata perangsang yang sebenarnya perlu kita contohi.

"Penulis wanita lebih banyak memilih jalan sendiri dan apabila berkarya, kurang kata perangsang kerana kebanyakannya hanya diam dan sekadar 'memandang' karya penulis wanita lain," katanya kepada Sastera & Budaya BH selepas Malam Wanita Pemuisi di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), di sini.

Sri Diah berkata, penganjuran acara yang menghimpun dan mengangkat penyair wanita yang dilakukan dalam skala kecil, berupaya membentuk kebersamaan.

Beliau berkata, ia membolehkan penyair wanita saling memberikan dorongan antara satu sama lain.

"Bagi saya, faktor kebersamaan ini penting tanpa menafikan kesibukan penulis wanita terutamanya berkait hal keluarga yang menyebabkan minat mereka dalam penulisan akhirnya terkebelakang berbanding keutamaan yang lain.

"Ini sebenarnya tidak hanya melanda penyair wanita tanah air, malah rakan dari negara jiran seperti Indonesia dan Filipina juga berdepan keadaan sama," katanya.

Buka peluang

Sementara itu, penulis, Shamsazila Saa'ban, berpandangan kebersamaan penyair wanita akan membolehkan genre puisi lebih mudah didekati terutama dalam kalangan generasi muda hari ini.

Shamsazila berkata, selain peranan penyair sendiri, usaha itu boleh dimainkan persatuan penulis seperti yang dilakukan PENA yang bersedia membuka ruang bukan saja untuk acara sastera, malah penerbit indie.

"Persatuan penulis juga perlu keluar daripada kepompong dengan mengadakan lebih banyak acara yang tidak mengasingkan orang muda.

"Saya pasti mereka juga mahu mendapat lebih banyak tunjuk ajar dan ilmu daripada penyair yang lebih berpengalaman," katanya.

427 dibaca
Berita Harian X