Rabu, 4 April 2018 | 4:03pm
MARITZA Villavicencio. - Foto AFP
BUKU yang diterbitkan oleh San Martin de Porres University, ialah hasil daripada penyelidikan selama 10 tahun. - Foto AFP

Wanita Peru Purba miliki kuasa politik, ekonomi

LIMA: Wanita pada zaman Peru Purba jauh daripada disisihkan dan tidak kelihatan, sebaliknya menjadi pembuat keputusan dalam politik dan ekonomi.

Ia berdasarkan kajian baharu yang mencabar banyak dapatan tradisional dalam sejarah negara berkenaan.

Sejarawan, Maritza Villavicencio memberikan penemuan yang menyanggah hipotesis sebelum ini bahawa wanita berpangkat tinggi zaman Pra-Columbia di Peru hanyalah 'pendeta' dalam buku Woman, Power and Food in Ancient Peru.

Sebaliknya, beliau menegaskan mereka adalah dari kalangan diraja.

Buku yang diterbitkan oleh San Martin de Porres University, ialah hasil daripada penyelidikan selama 10 tahun.

"Wanita memang terlindung dalam sejarah dan apa yang buku saya kemukakan adalah untuk saranan untuk mengembalikan memori kehidupan sebenar wanita ini. Sebab itulah ia lebih daripada dakwaan semata-mata," katanya kepada AFP.

Dalam buku itu, Villavicencio berhujah bahawa wanita menggunakan kuasa politik dalam masyarakat mereka dalam kawasan berlainan Pra-Hispanik Peru.

"Wanita dikategorikan sebagai pendeta untuk merendahkan kedudukan mereka - bukan sebagai tokoh yang mempunyai kuasa dalam mengambil bahagian dalam aktiviti politik, ekonomi dan sosial masyarakat, berupaya untuk membuat keputusan serta mengadakan pakatan untuk mengangkat pemerintah.

"Terdapat tafsiran yang bersifat diskriminasi oleh pengkaji mengenai wanita zaman Peru Purba yang mengaburi kuasa sebenar wanita ini," katanya.

Mumia pertama wanita berkedudukan tinggi ditemui di utara Peru pada 1992 di tapak arkeologi San Jose del Moro, iaitu kampung halaman masyarakat era Sican Akhir yang tinggal antara abad ke-12 hingga ke-14.

illavicencio berkata, jasad itu sudah lama dianggap pendeta tinggi meskipun dikebumikan dengan memakai pakaian pemerintah bersama-sama lapan wanita elit dan sebuah hiasan kepala. Sejak 2013, ia dipanggil Senora Chornancap.

Katanya, pada 1987, ahli arkeologi menemui apa yang kemudiannya dikenali sebagai Lord of Sipan, berhampiran kota moden, Trujillo.

"Tidak ada sesiapa pun yang menggelarkannya 'pendeta'. Semua orang memanggilnya tuan agung dan raja Moche, manakala sebuah muzium dibina untuknya," katanya.

Penemuan lain, Lady Cao yang memerintah pada abad ke-4 semasa kebudayaan Moche juga asalnya dilabelkan sebagai pendeta meskipun dikebumikan dengan tongkat yang serupa dengan apa yang dijumpai di makam Lord Sipan.

Selepas kajian lanjut, Lady Cao dianggap sebagai pemerintah dan pada masa kini, sebuah muzium dibina sebagai penghormatan kepadanya.

"Wujud pandangan berat sebelah apabila berkaitan dengan wanita, iaitu sudut pandangan lelaki-sentrik yang meletakkan lelaki di tengah-tengah semua perkara dalam sejarah Peru," katanya.

Beliau berkata, buku tradisional sejarah Peruvian menyebut wanita tidak wujud apabila keputusan pemerintahan dilakukan tetapi kajiannya menunjukkan sebaliknya.

Villavicencio berkata, keturunan menjadi kriteria utama dalam kesinambungan kuasa.

"Terdapat empat bidang yang kuasa dikaitkan dengan individu: usaha berkaitan kuasa ajaib, pengeluaran semula, pembuatan tekstil dan bekalan makanan.

"Kuasa wanita membabitkan penyembuhan, memanggil cuaca melalui pengetahuan, menunjukkan jalan kehidupan dan kematian itu, menjadikan mereka sebagai pemimpin," katanya.

Simbol penting ialah tatu. "Sebagai contoh, Lady Cao mempunyai cacah ular di lengan yang menunjukkan tokoh itu boleh memanggil air dari sungai dan mungkin meramal cuaca."

Terdapat juga tempat perlindungan di lokasi mumia wanita elit itu ditemui seperti tapak di kawasan kejiranan Miraflores di Lima yang dipanggil Pucllana atau tapak berhampiran di San Isidro.

Tapak San Isidro, Huallamarca, menempatkan jasad sekitar 100 orang, 73 daripadanya ialah wanita bertaraf elit termasuk Lady of the Long Hair (la Dama de los Cabellos Largos). Jasad lelaki juga ditemui tetapi mereka dari kalangan berpangkat rendah.

Ahli arkeologi sudah menggali banyak bukti mengenai pembuatan tekstil.

Villavicencio berkata, pakaian mantel itu dipercayai mengurniakan kuasa kepada wanita Peru Purba.

212 dibaca
Berita Harian X