Sabtu, 7 April 2018 | 7:34pm
PENULIS Buku "Sutan Puasa Founder Kuala Lumpur", Abdur Razzaq Lubis (kiri) sesi menandatangan pada Majlis pelancaran Buku "Sutan Puasa Founder Kuala Lumpur" di ILHAM Galeri. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Buku tampilkan bukti Sutan Puasa buka Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Buku Sutan Puasa Founder of Kuala Lumpur, tulisan Abdur-Razzaq Lubis, yang memberi interpretasi baharu kepada persoalan mengenai pembuka sebenar Kuala Lumpur, dilancarkan di Ilham Gallery di sini, hari ini.

Naskhah itu tidak hanya membentangkan penelitian kepada fakta mengenai sejarah awal pembukaan Kuala Lumpur oleh Sutan Puasa malah turut menjawab persoalan sama ada catatan sejarah terdahulu oleh orientalis mengenai pembukaan Kuala Lumpur, benar-benar tepat.

Abdur-Razzaq berkata, penulisan naskhah itu adalah usahanya melakukan kajian kesarjanaan bagi membuktikan data dan fakta mengenai pengasas sebenar Kuala Lumpur, sekali gus menolak penamaan Yap Ah Loy atau Raja Abdullah seperti diterima dalam kebanyakan teks hari ini.

"Yap Ah Loy digulingkan dan diturunkan daripada 'takhta' sebagai pengasas Kuala Lumpur. Kemudian diangkat dan dicalonkan pula Raja Abdullah tetapi ia tidak dibuktikan.

"Kita tahu polemik akan timbul, malah ada yang sudah mula menolak naskhah ini tanpa membacanya terlebih.

"Bagaimanapun kajian saya ini akan membuktikan secara ilmiah mengenai individu sebenar yang menjadi pengasas Kuala Lumpur, iaitu Sutan Puasa," katanya pada Majlis Pelancaran Sutan Puasa Founder of Kuala Lumpur.

Yang turut hadir penyanyi terkenal tanah air yang juga keturunan Sutan Puasa, Datuk Sheila Majid.

Abdur-Razzaq berkata, penulisannya mengenai Sutan Puasa atau Sutan Naposo, iaitu usahawan perlombongan dan pedagang timah berketurunan Mandailing dari Sumatera mengambil masa panjang.

Beliau berkata, ia mengambil masa lebih lima tahun untuk disempurnakan disebabkan pelbagai cabaran dalam membuat kajian dan mendapatkan bahan rujukan.

Sementara itu, Sheila berkata, beliau sudah mendengar cerita sumbangan Sutan Puasa dalam membuka Kuala Lumpur oleh ibu dan bapa saudaranya sejak masih kanak-kanak lagi.

"Beliau hero dalam keluarga kami tetapi kami tidak dapat memberitahu orang lain mengenainya kerana kami tidak mempunyai rujukan dan ia mungkin juga tidak akan dipercayai.

"Oleh itu, saya gembira kerana Abdur-Razzaq membuat kajian komprehensif ini, sekali gus dapat menunjukkan kepada masyarakat mengenai sumbangan Sutan Puasa sebagai individu yang bertanggungjawab membuka Kuala Lumpur," katanya,

Sheila berkata, meskipun Sutan Puasa tidak berkahwin, beliau membawa sekali anak saudaranya, Haji Jafaar ketika berhijrah ke Tanah Melayu dan daripada situ keturunan Sutan Puasa berkembang di negara ini.

1101 dibaca
Berita Harian X