Jumaat, 13 April 2018 | 8:37pm
Karya penulis Sepanyol, Antonio Munoz Molina, Like a Fading Shadow mengenai pembunuh upahan Martin Luther King Jr, juga diterbitkan oleh Tuskar Rock.

Penerbit 'indie' kuasai hadiah novel antarabangsa UK

LONDON: Penerbit bebas atau indie mendominasi senarai pendek Hadiah Man Booker Antarabangsa di Britain yang diumumkan semalam, sekali gus meraikan hasil kerja terjemahan dalam fiksyen dunia.

Enam pengarang dan penterjemah mereka bersaing untuk merangkul hadiah bernilai STG50,000 (RM276,000) yang merangkumi karya terjemahan daripada empat bahasa Eropah dan ditambah hasil penulisan Korea Selatan dan berbahasa Arab oleh penulis Iraq.

Pengerusi Panel Hakimnya, Lisa Appignanesi, berkata senarai pendek itu menjanjikan "pertembungan yang memancar-mancar dengan terjemahan prosa."

"Kami mengalami meditasi yang memukau, bingit, seksi, kisah perdana, cerita menakutkan dan berselerak; sarat dengan perasaan ingin tahu yang membingungkan dan tindakan berani dalam memancarkan imaginasi," katanya dalam kenyataan di sini.

Di sebalik kepelbagaian pengarang dan kisah mereka - bermula daripada senario muzik Paris hinggalah meditasi warna - buku itu semua dibangkitkan daripada penerbit bebas.

Tuskar Rock Press berada di belakang buku The World Goes On, iaitu koleksi cerita oleh pengarang Hungary, Laszlo Krasznahorkai yang memenangi hadiah pada tahun 2015.

Karya penulis Sepanyol, Antonio Munoz Molina, Like a Fading Shadow mengenai pembunuh upahan Martin Luther King Jr, juga diterbitkan oleh Tuskar Rock.

Penerbit bebas lain di belakang finalis ialah Fitzcarraldo Editions, MacLehose Press, Oneworld dan Portobello Books.

Pemenang akan diumumkan di London's Victoria and Albert Museum pada 22 Mei ini dengan hadiah dikongsi antara pengarang dan penterjemah.

Senarai pendek Man Booker Antarabangsa:

- Vernon Subutex 1 oleh Virginie Despentes (Perancis)

- The White Book oleh Han Kang (Korea Selatan)

- The World Goes On oleh Laszlo Krasznahorkai (Hungary)

- Like a Fading Shadow oleh Antonio Munoz Molina (Sepanyol)

- Frankenstein in Baghdad oleh Ahmed Saadawi (Iraq)

- Flights oleh Olga Tokarczuk (Poland) -AFP

105 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »