Khamis, 11 Oktober 2018 | 12:20pm
Panel jemputan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, (dua dari kiri), Dr Faizal Musa, Panel dari University of Muhammadiyah, Malang, Indonesia, Dr Pradana Boy Zulian dan Panel dari National University of Singapore, Dr. Azhar Ibrahim membentangkan tajuk forum sempena Forum “Nusantara Bergerak: Makna menjadi Nusantara” di Gerak Budaya, Petaling Jaya. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Istilah Nusantara diguna tanpa semangat penyatuan Melayu

KUALA LUMPUR: Konsep Nusantara dalam pemahaman warga Indonesia sangat berbeza dengan apa yang difahami rakyat Malaysia, bahkan hampir kesemua negara lain di Asia Tenggara termasuk Singapura.

Pensyarah Universiti Muhammadiyah, Malang, Indonesia, Dr Pradana Boy Zulian, berkata ketika kebanyakan penduduk Asia Tenggara merujuk Nusantara kepada wilayah Kepulauan Melayu atau negara di Asia Tenggara, penduduk Indonesia sebaliknya berpendapat Nusantara adalah Indonesia semata-mata.

“Hal sedemikian yang diajarkan kepada kami bahawa Nusantara itu Indonesia. Ia mungkin disebabkan Indonesia itu sendiri terlalu luas hingga tidak menghitung negara-negara lain di sekelilingnya,” katanya ketika membentangkan Makna Menjadi Nusantara: Dulu, Kini, Esok dalam Forum Nusantara Bergerak di Gerak Budaya di sini.

Tegas Pradana, beliau hanya menyedari perbezaan itu ketika melanjutkan pengajian di Singapura.


Panel jemputan dari University of Muhammadiyah, Malang, Indonesia, Dr Pradana Boy Zulian membentangkan tajuk forum sempena Forum “Nusantara Bergerak: Makna menjadi Nusantara” di Gerak Budaya, Petaling Jaya. - Foto Zulfadhli Zulkifli

“Perspektif Nusantara itu adalah Indonesia merisaukan saya. Sedangkan di negara luar, misalnya di Australia ada satu perbahasan apakah maksudnya Asia Tenggara selain konsep Nusantara itu juga dikaitkan dengan Melayu,” katanya.

Pradana berkata, dalam kalangan orang Jawa, Melayu itu merujuk kepada orang yang di luar Jawa yang tidak berbahasa Jawa. Misalnya mereka yang bertutur bahasa Indonesia yang dirujuk sebagai ‘coro melayu’ iaitu bahasa Melayu.

“Kesedaran sedemikian itu ada dan digunakan secara spontan tetapi tidak dimengertikan sedalam-dalamnya. Kita sering menggunakan istilah itu tanpa ada kesedaran penyatuan sedangkan kemelayuan itu adalah kita semua,” katanya.

Istilah Nusantara digunakan pertama kalinya pada 1334 oleh pemerintah Kerajaan Majapahit ketika itu, Gadjah Mada untuk menjelaskan konsep kekuasaan wilayahnya.

Gadjah Mada terkenal dengan ‘Sumpah Palapa’ yang menyebut, “Saya tidak akan makan buah kelapa sehingga saya menyatukan wilayah Nusantara”.


Panel jemputan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (dua dari kiri), Dr Faizal Musa, Panel dari University of Muhammadiyah, Malang, Indonesia, Dr Pradana Boy Zulian dan Panel dari National University of Singapore, Dr. Azhar Ibrahim membentangkan tajuk forum sempena Forum “Nusantara Bergerak: Makna menjadi Nusantara” di Gerak Budaya, Petaling Jaya. - Foto Zulfadhli Zulkifli

“Ketika zaman Majapahit, konsep kekuasaan Majapahit itu terbahagi kepada tiga iaitu, negara yang merujuk kepada Jawa Timur dan sekitarnya, Mancanegara, iaitu masih di tanah Jawa tetapi di luar jajahan Majapahit dan Suwarnapurba merujuk kepada negara di luar tanah Jawa.

“Dalam bahasa moden Nusantara itu adalah Kepulauan Melayu,” katanya.

Di Indonesia, wawasan Nusantara sebagai konsep kewilayahan disebut dalam dalam Deklarasi Djuanda pada 13 Desember 1957.

Ketika zaman kolonial, terma itu digunakan oleh pengarang dan nasionalis Melayu sebelum tenggelam dan muncul semula pada 1990-an.

284 dibaca
Berita Harian X