Jumaat, 12 Oktober 2018 | 7:00am
SEMAKIN ramai pengarang beralih kepada fiksyen baharu. - Ihsan eco-business

Genre baharu sastera 'perubahan iklim' cetuskan ketakutan

FRANKFURT: Dengan loceng amaran mengenai pemanasan global semakin nyaring, semakin ramai pengarang beralih kepada fiksyen baharu, perubahan iklim untuk mendramakan kesan bencana kemarau, taufan dan banjir yang dapat menginspirasikan tindakan.

Dikenali sebagai ‘cli-fi’, genre yang menyaksikan ledakan populariti dalam beberapa tahun kebelakangan sebagai perubahan alam sekitar itu, menyambar seluruh dunia dan kisah planet dalam kekacauan yang ditampilkan dengan kurang berunsurkan fiksyen sains dan lebih realitistik.

“Perubahan iklim berkembang perlahan dan sangat berasaskan tempat.

“Agak sukar untuk kita perhatikan perkara ini dalam kehidupan harian,” kata pakar sastera Amerika Syarikat (AS) dan pensyarah Universiti Brown kepada AFP.

“Namun dengan fiksyen iklim, anda boleh membayangkan menjadi mangsa banjir dan kemarau serta dengan imaginasi itu boleh mencetuskan empati yang radikal,” katanya.

Bagi novelis Norway, Maja Lunde, ia bermula dengan dokumentari mengenai kekacauan akibat keruntuhan koloni dan kematian misteri lebah yang mencetuskan kebimbangan antarabangsa.

“Saya mengalami detik menginsatkan: inilah yang mahu saya tulis,” katanya.

The History of Bees yang membayangkan dunia tanpa lebah dengan manusia terpaksa menguruskan pokok sendiri, menjadi buku terlaris di persada antarabangsa hingga lebih sejuta naskhah dan diterjemah kepada lebih 30 bahasa.

Menyedari beliau masih belum selesai dengan topik itu, Lunde merancang untuk menulis novel perubahan iklim secara bersiri. Buku kedua, Blue menyorot isu kekurangan bekalan air dan diterbitkan di Norway pada tahun lalu.

Lunde akan membincangkan novelnya di Pesta Buku Frankfurt pada minggu ini, acara penerbitan terbesar di dunia yang fiksyen perubahan iklim dijangka akan tampil dengan lebih ketara.

“Saya fikir kita akan menyaksikan lebih banyak buku genre ini akan diterbitkan.

“Orang ramai semakin mengambil berat isu perubahan iklim dan pengarang menulis mengenai hal itu yang menyebabkan mereka takut,” katanya.

Beliau berkata, laporan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terbaru, memberikan amaran terhadap keperluan perubahan drastik untuk mengelakkan bumi daripada terjerumus ke fenomena peningkatan suhu, sekali gus menunjukkan situasi semakin buruk.

“Bagaimanapun, kita masih ada masa untuk melakukan banyak perkara. Kita semua boleh berbuat sesuati. Saya yakin fiksyen perubahan iklim boleh mengubah pemikiran,” katanya.

Wartawan sambilan AS, Dan Bloom, mendapat kredit kerana mencipta istilah ‘cli-fi’ pada 2010, menggambarkan genre itu sebagai ‘saudara’ sastera kepada fiksyen sains tetapi kurang bersifat eskapis atau lari daripada kenyataan dan “berasaskan realiti serta sains sebenar.”

Contoh terawal karya dalam genre ini adalah beberapa dekad lalu dengan novel JG Ballard pada 1962, iaitu The Drowned World yang membayangkan pencairan ais menenggelamkan London yang menjadi kota raya ditinggalkan, sekali gus dianggap karya klasik dalam genre itu.

Bagaimanapun Bloom yang berpangkalan di Taiwan berkata, cli-fi dibuat untuk abad ke-21.

“Kini kita menyaksikan: banjir, gelombang panas, kekurangan air dan pelarian akibat iklim. Cli-fi mencipta dirinya sendiri,” katanya.

Pada tahun ini, Bloom berkata, musim panas yang luar biasa berlaku dengan kebakaran hutan terjadi secara teruk di Eropah dan California, menjadikan masyarakat lebih sedar terhadap peristiwa perubahan iklim yang berkaitan dengan pemanasan global, sekali gus mengisi kehendak pembaca novel cli-fi.

Bagaimanapun seperti novel yang bagus katanya, penulis cerita cli-fi perlu secara dasarnya “menjadi pencerita yang bagus, penuh dengan emosi dan watak yang meninggalkan kesan.”

Novel Barbara Kingsolver, Flight Behaviour (2012) mengenai ketibaan mengejut rama-rama besar dalam kuantiti yang banyak di hutan Tennessee dan trilogi distopia Margaret Atwood, MaddAddam disenarai antara karya dalam genre itu yang mesti dibaca.

“Pengkritik sastera mula mengambil serius genre ini sekarang. Kita sedang memasuki era cli-fi.

“Sekiranya ia dilakukan dengan betul, novel cli-fi boleh berjaya ketika artikel akhbar dan laporan saintifik yang membosankan gagal berbuat demikian,” katanya.

“Novel itu boleh membantu dalam menjadikan pembaca lebih mengambil berat terhadap risiko peningkatan suhu dunia satu darjah demi satu darjah. Novel ini boleh menjadi panggilan yang mengejutkan lena kita,” katanya.

Pensyarah Universiti, Rush bersetuju. Fiksyen iklim “boleh menjadi percikan yang membawa kepada transformasi politik dunia. - AFP

408 dibaca
Berita Harian X