Isnin, 5 March 2018 | 8:47am
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Bangunan Perdana Putra, Khamis lalu. Turut sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said (tiga dari kanan) dan Datuk Seri Paul Low Seng Kuan (kanan). - Foto BERNAMA

ABIM sambut baik pelaksanaan NHRAP bela hak asasi manusia

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) yang dilancar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya, Khamis lalu.

ABIM menyambut baik usaha kerajaan membangunkan NHRAP sebagai langkah awal memastikan isu hak asasi di Malaysia dapat disantuni dengan lebih baik dan sistematik, selaras dengan syor Pengisytiharan dan Pelan Tindakan Vienna 1993 (Deklarasi Vienna 1993).

Pelancaran NHRAP membuktikan kepada dunia komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia. ABIM berharap pelan tindakan itu dapat menjadi dokumen yang komprehensif menyentuh aspek hak asasi manusia secara menyeluruh.

Tingkat imej negara

Ia juga dapat meningkatkan imej negara yang bakal melalui persidangan semakan berkala sejagat (UPR) buat kali ketiga bagi Malaysia pada akhir tahun ini.

Sebagai pertubuhan belia, ABIM berharap isu kritikal yang berkaitan belia dapat ditambah baik terutama dalam aspek ekonomi, sosial dan pendidikan.

Selain itu, sebagai pertubuhan yang turut menangani isu global, ABIM turut berharap isu bersangkutan dengan hal ehwal pelarian turut ditangani, sekurang-kurangnya dengan memberikan sokongan dalam pelbagai bentuk bagi pembabitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menguruskan pelarian.

Justeru, bagi memastikan NHRAP dapat digerakkan mengikut matlamat yang ingin dicapai, ABIM sebagai NGO terbabit aktif sejak awal penubuhannya memperjuangkan isu hak asasi, sedia menawarkan diri menjayakan NHRAP ke arah pelaksanaan hak asasi manusia yang lebih komprehensif di negara ini.

Selain itu, ABIM berharap NHRAP menjadi dokumen hidup dan dinamik yang boleh disemak prestasinya dari semasa ke semasa supaya prestasi hak asasi manusia di negara ini sentiasa terpelihara, akhirnya taraf kesejahteraan hidup rakyat Malaysia berada pada tahap terbaik dan dihormati dunia.

Lima teras utama

NHRAP yang dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa dengan merujuk kepada garis panduan dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempunyai lima teras utama, iaitu hak sivil dan politik; hak ekonomi, sosial dan kebudayaan; hak golongan rentan; hak asasi manusia dalam kalangan Orang Asli, Anak Negeri Sabah dan Pribumi Sarawak serta kewajipan antarabangsa.

Mohamad Raimi Ab Rahim,
Presiden ABIM

170 dibaca
Berita Harian X