Isnin, 5 March 2018 | 8:48am
MALAYSIA Airlines kini memiliki pesawat baharu yang lebih besar untuk keselesaan penumpang. - Foto Malai Rosmah Tuah

Malaysia Airlines mampu ulangi kecemerlangan perkhidmatan

SAYA merujuk kepada laporan BH bertarikh 28 Feb bertajuk 'Wau Bulan terbang lebih tinggi.'

Rancangan Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines) untuk menyusun semula struktur organisasi dalam tempoh terdekat ini harus disokong, kerana ia bertujuan memantapkan lagi operasi dan seterusnya mencatatkan semula keuntungan.

Program di bawah Rangka Pelan Pemulihan Malaysia Airlines selama lima tahun itu, termasuk kemungkinan menyenaraikan semula syarikat penerbangan nasional dalam pasaran saham, selain penjenamaan semula agar ia kekal relevan dan mampu kembali mencatatkan keuntungan pada separuh pertama 2019.

Sesungguhnya rancangan Malaysia Airlines untuk melancarkan destinasi baharu, termasuk dua destinasi dalam tahun ini, langkah tepat kerana mampu memperluaskan pasaran syarikat penerbangan itu.

Saya percaya fokus Malaysia Airlines kepada China, India dan Australia akan membuahkan hasil yang baik kerana pertumbuhan ekonomi dan peningkatan jumlah pelancong dari negara besar itu amat ketara.

MAS terima 6 pesawat Airbus

Rancangan berkenaan lebih mudah untuk dilaksanakan apabila Malaysia Airlines menerima semua enam pesawat badan lebar Airbus A350-900.

Saya berpeluang menyaksikan ketibaan pesawat Airbus A350-900XWB Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada November lalu. Ia suatu pengalaman yang akan sentiasa tersemat di ingatan.

Malaysia Airlines perlu memiliki pesawat moden dan canggih demi memenuhi tuntutan penumpang dan memberikan keselesaan kepada mereka agar sentiasa mendapat pengalaman terbaik.

Namun, ia juga perlu mengambil tindakan segera terhadap aduan dan pandangan orang ramai, termasuk isu kerusi yang tidak selesa dan bilangan tandas yang tidak mencukupi dalam kelas perniagaan pesawat A350-900XWB.

Harapan penumpang terhadap Malaysia Airlines pada masa ini amat tinggi kerana mereka semakin sedar akan hak untuk mendapatkan perkhidmatan yang lebih baik dan menepati masa.

Amat malang jika penumpang masih perlu berhadapan dengan isu keselesaan dalam kabin, kualiti makanan, kelewatan bagasi dan penerbangan kerana kecanggihan teknologi dan sistem yang ada boleh mengurangkan masalah ini dengan berkesan.

Malaysia Airlines seharusnya menyediakan kakitangan terlatih dan berpengalaman untuk memaklumkan kepada penumpang menggunakan pendekatan mesra, serta sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Sebagai seorang yang kerap kali menggunakan perkhidmatan penerbangan dan pelanggan setia Malaysia Airlines, saya percaya syarikat penerbangan kebangsaan ini mampu memenuhi kehendak penumpang.

Syarikat penerbangan itu, yang bermula sebagai Malayan Airway pada 1947, sentiasa 'terbang tinggi' sebagai antara syarikat penerbangan nasional terbaik di rantau ini, terutama pada 1970-an dan 1980-an.

Pujian harus diberikan kepada pengurusan dan semua kru penerbangan Malaysia Airlines kerana mereka diberi pengiktirafan dan menerima anugerah demi anugerah atas perkhidmatan mereka yang terbaik.

Mereka terus komited dalam pekerjaan walaupun pelbagai keistimewaan dan faedah yang dinikmati sebelum ini sudah tiada, manakala bilangan anak kapal dalam setiap penerbangan turut dikurangkan.

Menang banyak anugerah

Tidak menghairankan apabila Malaysia Airlines antara beberapa syarikat penerbangan yang memenangi beberapa anugerah sebelum ini, seperti penarafan lima bintang Skytrax dan anugerah Kru Kabin Terbaik Dunia.

Saya juga berharap Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) akan terus meningkatkan perkhidmatan mereka di KLIA dan lapangan terbang yang lain.

Persaingan pada masa ini amat sengit kerana lebih banyak syarikat penerbangan menawarkan pakej dan perkhidmatan lebih baik, untuk memenangi hati pelanggan dan meraih anugerah dalam industri penerbangan.

Pengurusan Malaysia Airlines juga perlu sentiasa memastikan bahawa keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan kakitangannya sentiasa dijaga dan jumlah kru penerbangan yang munasabah sentiasa berada dalam pesawat untuk mengendalikan permintaan penumpang.

Dengan pelbagai tugas berat yang dijalankan mereka, kru penerbangan perlu diberikan perhatian dari segi kesihatan dan suasana pekerjaan mereka.

Pesawat Malaysia Airlines bukan sahaja membantu menerbangkan penumpang ke destinasi masing-masing tetapi sebagai pembawa bendera negara, mereka juga membantu mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum yang aman dan makmur.

Saya percaya dengan pimpinan yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Izham Ismail dan sokongan yang kuat daripada kakitangan dan penumpang Malaysia Airlines, saya percaya ia mampu kembali menjadi syarikat penerbangan kebanggaan kita dan disegani pada peringkat antarabangsa.

Tan Sri Lee Lam Thye,
Aktivis masyarakat

689 dibaca
Berita Harian X