Jumaat, 23 March 2018 | 7:52am
PENCAPAIAN pasukan bola sepak negara mengecewakan penyokong. - Foto hiasan

Syor ambil skuad kebangsaan terus dari Sekolah Sukan Bukit Jalil

RANKING pasukan bola sepak negara kini pada kedudukan 178. Kemerosotan pasukan negara begitu mengecewakan peminat sukan tanah air.

Harimau Malaya tidak mengaum lagi dan taringnya sudah tumpul serta tidak mampu lagi untuk menggigit walaupun secebis daging yang enak.

Kita tidak boleh lagi asyik menunggu bila Harimau Malaya boleh mengaum semula dan taringnya mampu membaham pasukan yang bersaing dengan kita, di samping mendapatkan balik kedudukan ranking di bawah 100 pasukan terbaik dunia.

Diperhatikan, pemain kebangsaan yang dipilih dalam kalangan pemain pasukan Liga Super dan Liga Perdana tidak komited, atau bermain bermati-matian apabila beraksi untuk negara.

Sebaliknya, mereka bertungkus-lumus sanggup menghadapi apa juga rintangan demi untuk pasukan yang diwakilinya pada peringkat kelab atau negeri.

Semangat kenegaraan pupus

Semangat patriotik atau semangat kenegaraan semakin pupus dalam kalangan pemain, kerana mereka lebih mementingkan ganjaran yang lumayan daripada berbakti untuk negara.

Sikap sebegini yang menjadikan pasukan bola sepak negara tidak akan ke mana selagi pemain tidak mengubah sikap.

Saya mencadangkan pengambilan untuk skuad kebangsaan dipilih terus dari Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Mereka patut diberikan latihan khas secara intensif yang sudah tentu akan dilatih oleh jurulatih profesional luar negara.

Bakal pemain negara wajar diberikan gaji atau imbuhan serta ganjaran yang setimpal serta kemudahan kebajikan lebih baik.

Kontrak juga diperkenalkan antara 10 hingga 15 tahun sebelum mereka ini bebas untuk membuat pilihan menyertai mana-mana pasukan lain.

Skuad kebangsaan yang dicadangkan itu juga boleh diberi peluang untuk beraksi dalam Liga Super, serta didedahkan dengan perlawanan di luar negara sebagai mencari pengalaman dan memantapkan lagi kekuatannya.

SASO,
Seremban, Negeri Sembilan

7733 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »