Isnin, 26 Jun 2017 - 1:20AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Akhbar bahasa Melayu terulung

Bermula edisi pertama pada 1957, akhbar ini menggunakan kandungan yang sama dengan akhbar Straits Times. Pada ketika itu, Berita Harian menggunakan gambar Tunku Abdul Rahman Putra untuk menghiasi muka depannya dengan harga 15 sen.

Hanya lapan kakitangan bertugas ketika itu sebelum pelantikan pengarang pertama, Abdul Samad Ismail pada tahun 1958. Dalam tempoh itu, Berita Harian terus berusaha untuk muncul sebagai sebuah akhbar perdana dengan imej tersendiri termasuk melancarkan Berita Minggu pada 10 Julai 1960 dan akhirnya pada 1966 satu konsep baru 'masthead' diperkenalkan.

Tahun 1972 menyaksikan tampuk kepemimpinan di Berita Harian diambil alih oleh Abdul Wahab Zain yang sepanjang pembabitannya sebagai pengarang berjaya menambah dua muka surat tambahan menjadikan keseluruhan 12 muka surat pada tahun 1974.

Fokus penambahan ketika itu menumpukan kepada ekonomi, nota fotografi, tip menghadapi peperiksaan, lebih penumpuan kepada hiburan, berita luar negara dan rencana umum.

Sebelum beliau mengundur diri pada tahun 1975, Berita Harian berjaya menaikkan harga jualannya kepada 25 sen sebelum akhirnya Abdul Samad Said dilantik menjadi pengarang selama dua tahun bermula tahun 1976 hingga 1978 dan digantikan pula Salim Kajai pada tahun 1978.

Perubahan besar

Dalam era kepemimpinan Salim Kajai, dua perubahan besar berjaya dicapai iaitu pelancaran Edisi Bandar Berita Harian pada tahun 1979 dan sekali lagi imej baharu pada 'masthead' selain seksyen baharu yang memberi sedikit penekanan terhadap elemen hiburan. Kali ini, harga jualan juga meningkat kepada 35 sen senaskhah dan dinaikkan sekali lagi kepada 45 sen sebelum Adibah Amin dilantik sebagai pengarang pada tahun 1983.

Setahun selepas itu, Ahmad Sebi Abu Bakar dilantik menggantikan Adibah dengan jawatan Pengarang Kumpulan dan satu kejayaan terbesar di bawah pimpinannya ialah apabila Berita Harian dan Berita Minggu disatukan di bawah Berita Harian Sdn Bhd pada tahun 1985. Pada 20 Oktober tahun sama, Akhbar Dalam Darjah (ADD) dilancarkan.

Dua tahun memimpin Berita Harian, Ahmad Sebi digantikan A Kadir Jasin yang berperanan besar dalam memperkenalkan Anugerah Bintang Popular (ABP) pada Disember 1987 sebelum melepaskan kepemimpinan itu kepada Ahmad Nazri Abdullah pada 8 April 1988. Pembabitan Ahmad Nazri selama 10 tahun sebagai Pengarang Kumpulan mencetuskan kelahiran akhbar tabloid sukan, Jaguh pada 8 Ogos 1989 yang mempunyai 16 muka surat.

Berita Harian juga memperkenalkan tema terbaharu pada 2 Disember 1991 iaitu `Sumber Ilmu dan Maklumat Mutakhir'. Pada 1 Jun tahun sama, keluaran khas harian diterbitkan iaitu Berita Pelajar, Berita Wanita, Berita Teknologi, Jaguh, Perspektif dan Dunia. Pada 4 Disember 1993, Minda Pelajar diterbitkan dan serentak itu harga Berita Harian dinaikkan kepada 70 sen sebelum pengenalan kepada tabloid Didik pada 23 Januari 1995.

Langkah Berita Harian semakin panjang dalam memenuhi kehendak semua golongan termasuk wanita apabila secara rasmi menerbitkan akhbar mingguan Citra dengan tema 'Bicara Wanita Kontemporari' pada 23 Februari 1995 dan dijual dengan harga RM1.

Sisipan Joran beri impak besar

Antara kejayaan terbesar Berita Harian dalam menarik kelompok pembaca ialah apabila melancarkan sisipan Joran pada 4 Oktober 1996 yang nyata memberi impak besar terhadap akhbar ini menjelang sambutan ulang tahun ke-40 setahun selepas itu yang menyaksikan Grand Prix Joran diperkenalkan.

Selepas 10 tahun memimpin Berita Harian sehingga Julai 1998, tempat Ahmad Nazri diambil alih Ahmad Rejal Arbee yang sekali gus menaikkan harga Berita Harian kepada RM1.20 serta merombak beberapa pengisian dalam akhbar ini.

Beliau mengorak langkah merubah rupa bentuk Berita Harian pada tahun 2000 yang menggunakan `masthead' baharu dengan grafik lebih menarik dan penambahan kepada ruang berita, rencana dan analisis.

Tahun 2001 wajar diberi gelaran tahun pendidikan kerana ketika itu, dua tabloid dijadikan sisipan percuma untuk pembaca Berita Harian yang mana Didik diberi secara percuma bermula isu 6 hingga 12 Februari dan Minda Pelajar pada 5 hingga 11 Februari sebelum Skor pula dilancarkan pada 26 April 2001 sebagai tabloid pendidikan ketiga, memfokuskan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ubah reka letak

Menyedari kepentingan menarik golongan muda, Berita Harian mengubah reka letaknya pada 6 Januari 2003 kepada sesuatu yang lebih segar dan mesra pembaca dengan pengisian mendekati pembaca muda. Tahun sama juga menyaksikan Hishamuddin Aun dilantik sebagai Pengarang Kumpulan yang memimpin Berita Harian selama tiga tahun.

Pelantikannya mencorak satu lagi imej baharu apabila satu sisipan baharu diperkenalkan pada 4 Oktober 2003. Sisipan itu, Ikon nyata sekali menyasarkan golongan muda dan diselitkan bersama akhbar ini pada setiap Sabtu. Pada tahun sama juga, satu lagi sisipan diperkenalkan iaitu EPG (Emas, Perak, Gangsa) yang menggantikan edisi Jaguh sebagai sisipan sukan.

Semua usaha keras warga Berita Harian mula menampakkan hasil apabila pada Januari 2004, purata jualan akhbar ini mencapai 238,000 naskhah sehari yang menjadi titik tolak kepada kemunculan edisi muka depan untuk Wilayah, Tengah, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah - Sarawak, Timur, Utara dan Selatan. Pada tahun sama, Berita Harian memperkenalkan kolum Hello YB. Pada 23 Ogos 2004, edisi Tengah ditukar nama kepada Sentral.

Harga Berita Harian dinaikkan sekali lagi pada 2005 kepada RM1.50 dan sekali lagi Berita Harian merubah reka letak dan grafiknya untuk kelihatan lebih muda serta dinamik pada 20 Jun 2005. Penggunaan maklumat ringkas dan fakta nombor menjadi satu elemen baharu yang diperkenalkan.

Pelantikan Hishamuddin sebagai Ketua Pengarang Kumpulan NSTP membolehkan Datuk Manja Ismail dilantik Pengarang Kumpulan pada 1 April 2006. Pengenalan kepada RakanBH pada 10 April 2006 membolehkan pembaca berpeluang berkongsi pandangan serta komen menggunakan telefon bimbit.

Ramuan kejayaan

Satu perkara yang jelas, apa pun perubahan atau pembaharuan yang dilakukan sama ada dalam aspek reka letak, kandungan atau saiz akhbar, DNA BH tetap sama, iaitu mengambil pendekatan yang moderat atau sederhana.

Sebab itu, daripada edisi pertama BH pada 1 Julai 1957, akhbar ini menjelaskan berita dan laporan yang disiarkan adalah yang disukai serta sesuai untuk seisi keluarga.

Inilah ramuan kejayaan BH diwarisi sehingga sekarang. Hari ini BH menggunakan moto `Merentas Generasi' serta slogan `Satu Untuk Semua' yang turut membawa maksud untuk seisi keluarga serta masyarakat pada semua peringkat umur, jantina dan kaum.

Sikap moderat BH inilah yang membolehkan akhbar ini terus bertahan, terutama di sekolah termasuklah di sekolah aliran Cina dan Tamil.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna BH memandang ringan ancaman media baharu. Kita akui media baharu dan internet telah banyak mengubah cara masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang kini tidak saja terbatas menerusi akhbar, malah pelbagai medium lain, termasuk telefon bimbit. Apa yang disiarkan akhbar hari ini juga mungkin bukan lagi berita kerana maklumat itu sudah pun tersebar meluas dalam media sosial.

Inilah yang sedang digarap BH dengan mengimbangkan kelebihan media baharu dan akhbar yang sudah tentu masih mempunyai kekuatan dan keunikannya tersendiri.

BEKAS PENGARANG KUMPULAN BERITA HARIAN

Tan Sri A Samad Ismail (1958-1972)

Abdul Wahab Zain (1972-1975)

Datuk A Samad Said (1976-1977)

Salim Kajai (1978-1983)

Adibah Amin (1983-1984)

Datuk Ahmad Sebi Abu Bakar (1984-1986)

Datuk Abdul Kadir Jasin (1986-1988)

Datuk Ahmad Nazri Abdullah (1988-1998)

Datuk Ahmad Rejal Arbee (1998-2003)

Datuk Hishamuddin Aun (2003-2006)

Datuk Manja Ismail (2006-2009)

Datuk Mior Kamarul Shahid (2009-Oktober 2013)

Datuk Mahfar Ali (2013-kini)