Selasa, 25 Julai 2017 | 10:47pm
KYLIAN Mbappe. - Foto AFP

Mbappe bakal catat perpindahan termahal dunia

MADRID: Real Madrid dilaporkan sudah mencapai persetujuan untuk menandatangani Kylian Mbappe daripada Monaco dengan rekod perpindahan dunia bernilai 180 juta Euro (RM900.5 juta).

Akhbar harian Sepanyol, Marca, yang memetik sumber menyatakan, penyerang remaja itu dijangka menyertai Real Madrid dalam tempoh beberapa hari lagi dengan kontrak selama enam tahun.

Bagaimanapun, akhbar Perancis, Le Parisien dan Nice Matin menjelaskan Monaco menafikan laporan itu.

Namun, Marca menegaskan, Real Madrid bersedia untuk membayar sekitar 160 juta Euro (RM800 juta) dan bonus tambahan sehingga 20 juta Euro (RM100 juta), sekali gus memecahkan rekod perpindahan yang dilakar oleh Manchester United ketika mendapatkan Paul Pogba pada nilai 105 juta Euro (RM525 juta).

Real Madrid sedang mencari pengganti untuk mengisi posisi yang ditinggalkan Alvaro Morata selepas penyerang itu menyertai juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, Jumaat lalu.

Jika Mbappe menyertai juara Eropah itu, pemain berusia 18 tahun itu akan memperoleh gaji tahunan setinggi tujuh juta Euro (RM35 juta).

Mbappe yang masih memiliki kontrak bersama Monaco sehingga 2019 turut diintai beberapa pasukan ternama Eropah, termasuk seteru Monaco di Ligue 1, Paris Saint Germain (PSG). - AFP

14973 dibaca
Berita Harian X