Khamis, 3 Ogos 2017 | 5:52pm
PENGERUSI Bersama Jawatankuasa Pengelola, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Usah kejar imbuhan semata-mata: Yusoff

KUALA LUMPUR: Pengurus skuad bawah 22 tahun negara (B-22), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengingatkan pemain tidak hanya mengejar imbuhan, sebaliknya meletakkan kejayaan pasukan sebagai agenda utama apabila mewakili negara.

Katanya, segala pujian dan imbuhan yang diterima pemain atas kejayaan melakar sejarah mara ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China tahun depan diharap tidak 'menghanyutkan' pemain yang mempunyai misi penting di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bermula 14 Ogos ini.

"Saya mengingatkan kepada pemain, jangan terlalu ghairah mengejar imbuhan kerana imbuhan akan datang dengan sendirinya jika kita berjaya mencapai sesuatu kejayaan. Mereka seharusnya meletakkan semangat mewakili negara itu paling utama.

''Pemain tidak boleh cepat berpuas hati dengan kejayaan di Bangkok tempoh hari kerana misi seterusnya adalah di Sukan SEA jadi mereka perlu fokus semula,'' katanya.

Kejayaan skuad B-22 kendalian Datuk Ong Kim Swee melepasi pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok bulan lalu mendapat penghargaan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang berkenan mengurniakan imbuhan sebanyak RM4 juta.

Sebahagian daripada imbuhan itu juga diperuntukkan untuk program pembangunan bola sepak tanah air.

Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) percaya, sumbangan yang diberikan oleh Sultan Johor itu akan menyuntik semangat pemain menjelang temasya Sukan SEA.

''Kita amat berterima kasih atas keprihatinan Sultan Johor yang sudi mengurniakan imbuhan kepada pasukan bawah 22 tahun negara. Saya percaya ini menjadi satu motivasi buat pemain untuk terus berusaha mencapai lebih banyak kejayaan selepas ini,'' katanya.

561 dibaca
Berita Harian X