Sabtu, 12 Ogos 2017 | 6:59pm
KETUA Jurulatih Malaysia B-22, Datuk Ong Kim Swee (kanan) pada sesi latihan pasukan negara di Wisma FAM. - Foto Osman Adnan

Kim Swee tagih sokongan padu rakyat Malaysia

SHAH ALAM: Pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee mahu kelebihan sebagai tuan rumah dimanfaatkan sepenuhnya terutama dengan sokongan padu penyokong tempatan sepanjang kempen memburu ibu emas Sukan SEA kali ini.

"Kita perlu menggunakan setiap kelebihan yang ada dan faktor penyokong amat membantu pemain, tanpa mengambil kira siapa lawan kita," kata Kim Swee ketika sidang media selepas mengumumkan senarai akhir 20 pemainnya di Shah Alam, hari ini.

"Setiap perlawanan penting bagi pemain, terutamanya pada aksi pembukaan menentang Brunei, Isnin ini.

"Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing, saya pasti kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri mampu menjadi faktor yang membezakan kita dengan pasukan lawan.

"Pada tiga edisi sebelum ini, saya membawa pasukan bersaing di tempat lawan. Sudah tentu ia jauh lebih sukar kerana banyak perkara di luar kawalan kita.

"Jadi, sebagai tuan rumah, kita tidak boleh mensia-siakan kelebihan itu dan ia perlu dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.

Kim Swee turut mengharapkan kehadiran kumpulan penyokong setia bola sepak negara, Ultras Malaya walaupun sedar mereka hanya memberi tumpuan kepada skuad senior kebangsaan.

"Ketika skuad muda negara menjuarai Pestabola Merdeka 2013, Ultras antara tonggak penting yang mendorong kami mencapai kejayaan itu, dan saya harap perkara sama dilakukan pada temasya ini," kata Kim Swee.

Malaysia akan memulakan kempen bertemu Brunei pada Isnin ini, diikuti Singapura (16 Ogos), Myanmar (21 Ogos) dan Laos (23 Ogos). Semua perlawanan berlangsung di Stadium Shah Alam pada jam 8.45 malam.

462 dibaca
Berita Harian X