Sabtu, 12 Ogos 2017 | 9:57pm
PEMAIN Watford, Miguel Britos meraikan gol jaringan penyamaan bersama rakan sepasukan Tom Cleverley pada minit akhir perlawanan dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Vicarage Road, malam tadi. - Foto REUTERS

Watford bangkit ikat Liverpool

LONDON: Liverpool membuka kempen saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2017/18 dengan mengutip satu mata apabila diikat Watford, 3-3 pada aksi menarik di Vicarage Road, sebentar tadi.

The Reds tampak bersedia untuk meraikan kemenangan selepas mendahului 3-2, namun ketika aksi memasuki waktu kecederaan, jaringan Miguel Britos memastikan tuan rumah tidak menamatkan perlawanan dengan kekalahan.

Tanpa kelibat pemain kontroversi Liverpool, Philippe Coutinho, Watford terlebih dulu mendahului seawal minit kelapan apabila Stefano Okaka bijak menanduk masuk sepakan sudut Jose Holebas.

Sadio Mane menyamakan kedudukan buat Liverpool pada minit ke-29 menerusi gerakan menarik bersama Emre Can tetapi kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Watford kembali di depan menerusi jaringan Abdoulaye Doucoure pada minit ke-32.


PEMAIN Watford, Miguel Britos berjaya menewaskan penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Vicarage Road, malam tadi. - Foto REUTERS

Ketinggalan 2-1 pada babak kedua, Liverpool sekali lagi menyamakan kedudukan hasil jaringan Roberto Firmino pada minit ke-55 menerusi penalti sebelum Mohamed Salah meletakkan pelawat di depan dua minit kemudian.

Rentetan peluang diperoleh Liverpool selepas jaringan itu namun ketumpulan jentera serangan menyaksikan kedudukan kekal sehingga masa kecederaan.

Dan tiga minit memasuki masa kecederaan, jaringan Britos yang dianggap sedikit kontroversi susulan kedudukannya yang dikatakan ofsaid meranapkan impian Liverpool untuk meraih tiga mata. - REUTERS / AFP

1172 dibaca
Berita Harian X