Selasa, 29 Ogos 2017 | 8:03am
PEMAIN tengah England, Alex Oxlade-Chamberlain kini bersedia untuk menyertai kelab juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea dari Arsenal. - Foto REUTERS

Oxlade-Chamberlain bakal sarung jersi Chelsea

LONDON: Pemain tengah England, Alex Oxlade-Chamberlain kini bersedia untuk menyertai kelab juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea dari Arsenal, lapor media British, hari ini.

Berdasarkan laporan The Guardian, The Independent dan ESPN, kedua-dua kelab itu bersetuju dengan yuran perpindahan pemain 24 tahun berkenaan - yang dimasukkan sebagai pemain gantian ketika Arsenal dibelasah Liverpool, 4-0 Ahad lalu.

The Independent melaporkan, Chelsea bersedia membelanjakan 35 juta pound (RM193 juta) selepas mengambil kira hubungan dengan pengurus Arsenal, Arsene Wenger serta penyokong - yang mahu melihat peningkatan dalam kelab.

Pada awal bulan ini, Wenger menegaskan dia masih mahukan Oxlade-Chamberlain - pemain skuad England yang kini dalam persiapan menghadapi kelayakan Piala Dunia.

Namun dia masih memiliki tempoh sehingga Selasa (sebelum jendela perpindahan ditutup) untuk membincangkan mengenai terma peribadi dengan Chelsea atau mengesahkan pemain itu akan kekal.

"Tahun lalu, dia mempamerkan peningkatan yang menakjubkan dan secara peribadi, saya mahu dia kekal untuk tempoh yang lama," kata Wenger.

"Saya tegaskan, dia akan menjadi pemain England yang akan menjadi tumpuan ramai dalam tempoh dua tahun akan datang,"

Bagaimanapun, Arsenal sekurang-kurangnya akan menerima ganjaran yuran perpindahan untuk Oxlade-Chamberlain, tanpa menunggu sehingga kontraknya memasuki tahun akhir seperti yang berlaku ke atas bintang Jerman, Mesut Ozil serta tonggak Chile, Alexis Sanchez. - AFP

3658 dibaca
Berita Harian X