;
Isnin, 4 September 2017 | 8:08pm
LEGENDA Arsenal, Ian Wright (kanan) sifatkan permintaan Mesut Ozil mengarut.

Permintaan Ozil mengarut - Wright

LONDON: Legenda Arsenal, Ian Wright menyifatkan rungutan Mesut Ozil mengenai kritikan yang diterimanya daripada bekas pemain sebagai 'melucukan' kerana bintang Arsenal itu masih belum menandatangani kontrak sambungan.

Dalam tulisannya di Facebook Sabtu lalu, Ozil menyerang pengkritiknya di media dan meminta bekas pemain Arsenal supaya 'berhenti bercakap dan mula menyokong'.

Tetapi dengan perancang tengah Jerman berusia 28 tahun itu belum menyambung kontraknya yang akan tamat akhir musim ini, Wright berkata Ozil tidak seharusnya memberitahu orang apa yang perlu dilakukan.

"Tandatangani kontrak, jika anda benar-benar merasai kritikan, kerana anda adalah seorang pemain yang penting dalam kejayaan Arsenal," kata Wright.

"Anda tidak menandatangani perjanjian baharu dan anda mungkin akan terus bersembunyi di belakang fakta bahawa (Alexis) Sanchez lebih menjadi tajuk bualan. 'Adakah dia akan pergi?'

"Mengapa anda belum menandatangani kontrak? Itu yang saya inginkan tanyakan. Jika anda amat merasainya, mengapa tidak anda tandatangani kontrak ditawarkan terlebih dulu?

"Seorang pemain yang tidak beraksi baik di dalam padang dan mahu berhijrah, kemudian meminta pula bekas pemain supaya jangan bising. Ia agak melucukan."

Dua kekalahan kepada Stoke City dan Liverpool yang membelasah Arsenal 4-0 di Anfield, menyebabkan skuad Arsene Wenger di kedudukan ke-16 liga.

11092 dibaca
Berita Harian X