;
Sabtu, 9 September 2017 | 12:30am
PEP Guardiola tidak rela kehilangan Raheem Sterling (dua dari kanan) dalam perjanjian pertukaran untuk Alexis Sanchez (kiri).

Guardiola tak setuju tukar Sanchez dengan Sterling

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan sama sekali tidak akan membenarkan Raheem Sterling menyertai Arsenal dalam perjanjian pertukaran untuk Alexis Sanchez.

Sanchez hampir pasti menjadi milik City, tetapi perjanjian dibatalkan kerana Arsenal gagal menyambar pemain sasaran Thomas Lemar daripada Monaco.

Pada satu ketika, Sterling dicanang akan menjadi 'modal' pertukaran dalam perjanjian mendapatkan Sanchez, tetapi Guardiola berkata dia tidak rela kehilangan pemain sayap berusia 22 tahun itu.

"Apabila kami mula berbincang dengan Arsenal ketika jendela perpindahan kian hampir ditutup, mereka mahukan Raheem," kata Guardiola kepada pemberita.

"Dan mereka bercakap kepada saya dan saya berkata: 'Tiada langsung peluang walaupun satu peratus' untuk menukarnya dengan Alexis kerana saya percayakan Raheem.

"Dia baru berusia 22 tahun, pemain kebangsaan England dan mempunyai potensi untuk terus meningkat. Jadi, satu-satunya cara adalah kami hanya menawarkan wang untuk Alexis."

City dilaporkan bersetuju dengan yuran perpindahan sekitar 60 juta pound untuk Sanchez, yang pernah beraksi di bawah Guardiola di Barcelona.

Kontrak penyerang Chile berusia 28 tahun itu bakal tamat akhir musim ini tetapi Guardiola jelas tidak pasti sama ada City akan terus berusaha mendapatkannya.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada pertengahan musim ini ataupun tahun depan," kata Guardiola yang mana pasukannya akan menerima kunjungan Liverpool, malam ini.

3000 dibaca
Berita Harian X