Isnin, 11 September 2017 | 11:19pm
PENGURUS Crystal Palace, Frank De Boer dipecat selepas persembahan menyedihkan Liga Perdana musim ini yang menyaksikan mereka tewas semua empat perlawanan tanpa satupun jaringan. - Foto REUTERS

Palace pecat de Boer

LONDON: Kelab Crystal Palace memecat pengurus Frank de Boer selepas persembahan menyedihkan Liga Perdana musim ini yang menyaksikan mereka tewas semua empat perlawanan tanpa satupun jaringan.

Kelab di selatan London itu kini menduduki tangga ke-19 liga, kini dikaitkan dengan bekas pengurus kebangsaan England, Roy Hodgson bagi menggantikan pengurus kelahiran Belanda itu.

"Crystal Palace FC pagi ini berpisah dengan Frank de Boer," kata kelab itu dalam kenyataan ringkas menerusi laman webnya.

"Kami mahu berterima kasih kepada Frank atas dedikasi dan kerja kerasnya sepanjang berada di kelab ini.

"Pengurus baharu akan dilantik dalam masa terdekat dan kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Frank untuk masa depannya."

De Boer, 47, yang empat perlawanan di bawah kendaliannya adalah jumlah paling sedikit sebagai pengurus kelab dalam Liga Perdana, berkata menerusi laman Instagramnya bahawa dia kesal dengan keputusan kelab itu.

"Sangat mengecewakan terhadap keputusan ini, namun saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pemain, petugas dan penyokong kerana dorongan mereka. Selamat maju jaya," katanya.

Pengerusi Palace, Steve Parish dalam Twitternya semalam meminta penyokong berdiri di belakang pasukan itu, tanpa sedikitpun menyatakan sokongan terhadap bekas pengurus Ajax dan Inter Milan itu.

Dalam berbalas perbualan dengan peminat kelab itu susulan kekalahan 1-0 kepada Burnley, Parish menulis: "Orang ramai kecewa, saya juga kecewa, begitu juga pengurusan dan pemain. Kita tahu bahawa kita lebih baik dari ini..."

Parish juga menulis: "Kita sudah bermain 4 perlawanan, ia permulaan yang buruk tetapi kita perlu bersatu."

Palace sudah dibolosi tujuh kali dalam kekalahan kepada Huddersfield, Liverpool, Swansea dan Burnley.

Satu-satunya kemenangan kelab itu musim ini ialah ke atas Ipswich Town pada pusingan kedua Piala Liga, bulan lalu.

Sebaik tewas kepada Burnley di Turf Moor semalam, de Boer berkata: "Saya hanya fokus kepada apa yang boleh saya kawal, begitu juga kakitangan dan pemain. (Masa depan) ditentukan orang lain tetapi selagi saya menjadi pengurus Crystal Palace, saya akan memberikan 100 peratus."

Pasukan jolokan The Eagles itu adalah pasukan pertama tewas dalam empat perlawanan berturut-turut dalam saingan liga tertinggi itu tanpa sebarang jaringan, sejak Preston pada musim 1924-25. - AFP

1377 dibaca
Berita Harian X